Berita Harian

Prasarana digesa tambah koc LRT

Langkah elak kesesakan, kepadatan penumpang pada waktu puncak

- Oleh Azhar Shahrulniz­am bhnews@bh.com.my

Kuala Lumpur: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) disaran menambah jumlah koc Transit Aliran Ringan (LRT) di Lembah Klang, terutama pada waktu puncak bagi mengelakka­n kesesakan di stesen pengangkut­an awam berkenaan dan kepadatan penumpang dalam gerabak.

Rata-rata pengguna yang ditemui, mendakwa stesen LRT utama khususnya di ibu negara biasanya penuh dengan pengguna pada hari bekerja yang turut menyebabka­n gerabak padat dengan penumpang.

Pekerja swasta, Zalikha Anis, 25, berkata beliau baru mencuba menggunaka­n perkhidmat­an berkenaan sejak sebulan lalu dan mendapati hampir setiap hari bekerja, LRT dipenuhi penumpang.

“Saya pernah dua kali lambat tiba di tempat kerja kerana tak dapat masuk ke dalam gerabak yang terlalu padat dengan penumpang walaupun datang awal ke stesen.

“Saya harap gerabak ditambah supaya kepadatan penumpang di dalamnya dan kesesakan di stesen dapat dikurangka­n,” katanya.

Pagi kelmarin, ramai penumpang yang mahu ke tempat kerja terkandas akibat kesesakan luar biasa berlaku pada waktu puncak di Stesen LRT Pasar Seni dan turut tular di media sosial selepas warga maya berkongsi keadaan di stesen berkenaan.

Sementara itu, pekerja bank, Afiqah Abdullah, 24, berkata kesesakan di stesen LRT dilihat semakin memuncak bermula dua minggu lalu, dipercayai apabila semakin ramai sudah mula bekerja di pejabat dalam fasa peralihan ke endemik.

“Selalunya jika terlampau sesak, saya akan cari cara lain untuk ke tempat kerja. Semalam (kelmarin) keadaan di stesen sangat sesak sehingga sukar dikawal, jadi saya memilih naik bas,” katanya.

Tinjauan di Stesen LRT Pasar Seni semalam mendapati kesesakan penumpang bermula kira-kira jam 7.45 hingga 9.15 pagi, namun keadaan terkawal dengan kehadiran anggota Polis Bantuan dan petugas syarikat pengendali.

Penumpang dibahagika­n mengikut laluan LRT dengan kumpulan 20 orang sebelum dilepaskan dalam satu masa untuk ke platform menunggu.

Walaupun beratur panjang, pergerakan penumpang dari LRT ke Transit Aliran Massa (MRT) dan sebaliknya dilihat lancar.

Seorang petugas di stesen berkenaan berkata, kawalan sedemikian pernah dibuat ketika negara dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk memastikan pengguna mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Kaedah ini dilaksanak­an kerana platform di atas terlalu sesak apabila terdapat pertembung­an antara penumpang yang keluar tren dengan mereka yang masuk. Kami berusaha sebaik mungkin membantu memudahkan perjalanan penumpang,” katanya.

 ?? ??
 ?? (Foto Aswadi Alias/bh) ?? Pengguna beratur panjang untuk menaiki train ketika tinjauan waktu puncak di LRT stesen Pasar Seni, Kuala Lumpur, semalam.
(Foto Aswadi Alias/bh) Pengguna beratur panjang untuk menaiki train ketika tinjauan waktu puncak di LRT stesen Pasar Seni, Kuala Lumpur, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia