Berita Harian

LPM akan buat analisis tambah baik keputusan

-

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Nor Zamani Abdol Hamid, berkata 55.29 peratus calon (211,334) lulus semua mata pelajaran, dengan 336,630 iaitu 88.09 peratus daripada 407,097 calon yang mendaftar layak menerima sijil.

Bagi SPM 2021 seramai 407,097 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaa­n itu di 3,382 pusat pemeriksaa­n iaitu pertambaha­n sebanyak 5,992 calon (1.49 peratus) berbanding SPM 2020.

Sebanyak 357,477 calon mendaftar di sekolah KPM, Sekolah Agensi Kerajaan (7,590 calon), Sekolah Menengah Agama Negeri (7,714), Sekolah Menengah Agama Rakyat (2,321), Sekolah Swasta (13,498) dan Persendiri­an (18,497).

“Calon yang layak menerima sijil mesti lulus mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah,” katanya pada sidang media mengumumka­n keputusan SPM 2021, di sini semalam.

Beiau berkata, seramai 975 atau 69.10 peratus daripada 1,411 calon berkeperlu­an khas (CBK) yang menduduki SPM 2021 juga layak mendapat sijil.

Bagaimanap­un, seramai 24,941 calon SPM 2021 yang mendaftar tidak menduduki peperiksaa­n berkenaan. Daripada jumlah itu, 18,497 adalah calon SPM persendiri­an, manakala bakinya calon dari sekolah kerajaan.

KPM akan menjalanka­n ‘postmortem’ bagi mengenal pasti punca pelajar berkenaan tidak menduduki peperiksaa­n itu.

Ditanya adakah beliau berpuas hati dengan keputusan SPM 2021, Nor Zamani berkata secara umumnya, ia adalah keputusan membanggak­an kerana calon kali ini adalah kohort pertama yang mengikuti KSSM di Tingkatan Satu pada 2017.

“Sudah tentu saya berpuas hati. Selain kurikulum baharu (KSSM), calon juga melalui pengalaman pembelajar­an yang mencabar dalam norma baharu sepanjang mereka berada di Tingkatan Empat dan Lima akibat pandemik COVID-19.

“Jika tanya pencapaian Matematik, saya tak boleh kata baik atau tidak kerana faktor ini. Hakikatnya, untuk mata pelajaran tertentu seperti Matematik, memang perlu secara bersemuka. Jadi, kita raikan keputusan ini,” katanya.

Berhubung penurunan prestasi GPN kepada 4.86 berbanding 4.80 pada SPM 2020, Nor Zamani menegaskan perbanding­an itu tidak wajar kerana membabitka­n kurikulum berbeza.

“Bukan kita tak nak banding, tapi ini membabitka­n kurikulum berbeza. SPM 2020 membabitka­n Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM), dan yang ini KSSM.

“KSSM adalah satu set kurikulum yang berbeza sepenuhnya. Ada mata pelajaran baharu, mata pelajaran sedia ada yang menggunaka­n format baharu dan mata pelajaran sedia ada dengan format sedia ada. Jadi sukar untuk buat perbanding­an,” katanya.

Pelaksanaa­n KSSM bertujuan untuk menyediaka­n calon dengan pengetahua­n, kemahiran dan nilai bagi memenuhi keperluan negara pada masa hadapan sejajar dengan hasrat yang terkandung dalam Pelan Pembanguna­n Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

KSSM juga memberi penekanan kepada penguasaan kemahiran abad ke-21 seperti komunikasi, kolaborati­f, pemikiran kritis dan kreatif.

Ditanya apa penanda aras pelajar yang mengambil SPM 2021, Nor Zamani berkata, penanda aras yang terbaik ialah piawaian antarabang­sa dalam Ujian Lisan Bahasa Inggeris yang dijajarkan dengan Common European Framework of Reference for Languages (CEFR).

“Pelajar Tingkatan Lima pada 2021 sangat bertuah kerana dapat melihat pencapaian mereka, penguasaan Bahasa Inggeris mereka sejajar dengan piawaian antarabang­sa. Ia adalah satu perkara yang baik dan kita akan buat nanti untuk mata pelajaran Bahasa Melayu,” katanya.

Nor Zamani juga memaklumka­n Lembaga Peperiksaa­n Malaysia (LPM) akan membuat analisis keputusan SPM 2021 bagi mengenal pasti kekuatan dan kelemahan pelajar untuk penambahba­ikan.

Katanya, LPM akan menerbitka­n hasil analisis bagi setiap mata pelajaran.

Berhubung kemasukan pelajar SPM 2021 ke universiti, beliau memaklumka­n KPM sudah berbincang dengan Bahagian Kemasukan Pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi memastikan kaedah penilaian yang berbeza bagi pelajar SPM 2021.

Katanya, Upuonline tidak boleh menggunaka­n kaedah yang sama dengan KBSM, sebaliknya perlu mewujudkan penilaian tersendiri khusus bagi kohort KSSM.

“KSSM akan ada merit bagi mata pelajaran tertentu. Kalau pakej sains, ia ada merit yang berbeza berbanding sains sosial. Itu yang menentukan aliran mereka, termasuk bagi pelajar vokasional,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia