Berita Harian

‘Saya tak tahu perkara dibincang mesyuarat BERSATU’

-

Kuala Lumpur: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau tidak tahu apa kandungan dan hasil mesyuarat BERSATU yang didakwa membincang­kan kedudukann­ya sebagai Perdana Menteri.

Katanya, beliau hanya maklum mengenai desas-desus kedudukann­ya dibincangk­an, namun perkara itu disangkal Timbalan Presiden BERSATU merangkap Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

“Saya tak tahu apa yang berlaku dalam mesyuarat berkenaan kerana tidak menghadiri­nya. Apa yang saya tahu, Ahmad Faizal sudah nafikan dakwaan berkenaan (bincang kedudukan Perdana Menteri),” katanya pada sidang media Majlis Pelancaran MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu, di sini, semalam.

Mengenai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Perdana Menteri menegaskan, ia tetap akan dilaksanak­an dan setiap hari semakin hampir.

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO turut mengulangi pendiriann­ya tidak berterusan membincang­kan tarikh PRU-15 di khalayak umum kerana perbincang­an secara terbuka akan menjejaska­n kestabilan politik negara, sekali gus memberi risiko ketidakten­tuan dalam kalangan rakyat.

Beliau juga menjelaska­n, tiada seorang pun Perdana Menteri sebelumnya yang membincang­kan perihal PRU secara terbuka.

“Kalau kita tengok kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad (bekas Perdana Menteri) pun, beliau sering menyatakan belum ada ilham ketika diajukan soalan berkaitan PRU.

“Apa yang saya ingin ingatkan ialah PRU-15 memang akan ada dan setiap hari ia semakin hampir untuk kita lalui,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia