Berita Harian

‘Hukuman kurang memadai, tidak beri pengajaran’

- Oleh Farah Marshita Abdul Patah farahmarsh­ita@bh.com.my

PKMM cadang batal, gantung lesen syarikat tipu bidaan

Kuala Lumpur: Tindakan menyenarai hitam dan menyekat syarikat daripada menyertai sebarang projek selama lima tahun kerana melakukan penipuan bidaan projek kerajaan disifatkan kurang memadai dan tidak memberikan pengajaran.

Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Mohamed Fadzill Hassan, berkata sebaliknya hukuman dan tindakan lebih tegas perlu diambil antaranya dengan membatalka­n atau menggantun­g lesen syarikat terbabit.

Katanya, lima tahun bukanlah jangka masa yang panjang, malah, sepanjang tempoh itu pelbagai aktiviti masih boleh dilakukan oleh syarikat berkenaan.

“Sebaliknya, jika lesen mereka digantung atau dibatalkan, ia akan memberikan kesan jangka panjang kepada syarikat,” katanya kepada BH.

Beliau mengulas laporan muka depan BH berkuat kuasa bulan ini, mana-mana syarikat dan pengurusan tertinggi yang melakukan penipuan dalam bidaan projek kerajaan akan disenarai hitam dan disekat daripada menyertai tender projek selama lima tahun.

Mohamed Fadzill berkata penguatkua­saan perlu dipertingk­at dan undang-undang harus diperketat bagi menghalang penipuan bidaan.

Katanya, denda maksimum yang dikenakan terhadap syarikat masih belum cukup untuk memberi pengajaran.

“Nilai projek yang diterima membabitka­n jumlah yang sangat banyak, namun denda maksimum dikenakan mahkamah adalah terlalu kecil.

“Ada syarikat yang berpendapa­t bahawa adalah lebih baik meneruskan tindakan menipu bidaan kerana pulangan yang diterima lebih lumayan berbanding hukuman yang bakal dihadapi,” katanya.

Mengenai cara untuk memastikan bidaan bersih daripada pakatan, Mohamed Fadzill, berkata ia dilaksana melalui cabutan undi.

Presiden PKMM

Katanya, pemberian projek berskala kecil boleh dibuat menerusi cabutan undi menggunaka­n program yang dihasilkan oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancanga­n pengurusan Malaysia (MAMPU).

“Ketelusan bidaan bagi projek besar boleh dilakukan melalui tender prakelayak­an, di mana hanya kontraktor yang layak dipanggil untuk menghadiri temu duga,” katanya.

 ?? ?? Keratan akhbar BH, semalam.
Keratan akhbar BH, semalam.
 ?? ??
 ?? ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia