Berita Harian

‘Bulu roma meremang’ saksi aksi anak buah Pan Gon

-

Kuala Lumpur: Legenda bola sepak kebangsaan, Khalid Ali mengakui ‘meremang’ selepas menyaksika­n aksi Harimau Malaya khususnya dalam tiga perlawanan Kelayakan Piala Asia 2023 yang berjaya menempah tiket ke pusingan akhir tahun depan.

Bekas pemain tengah era 70an dan 80-an itu menganggap persembaha­n anak buah Kim Pan Gon itu seakan menggamit memorinya ketika skuad negara turun berdepan Korea Selatan pada Kelayakan Olimpik 1980, lebih empat dekad lalu.

“Memang saya rasa aura terutama (menyaksika­n) lawan Bahrain, Turkmenist­an dan Bangladesh, macam saya bermain dengan Korea Selatan. Kita tidak boleh nafikan yang pasukan kita memang banyak berubah.

“Saya duduk dekat sini (Stadium Nasional Bukit Jalil) dan saya rasa macam aksi Kelayakan Olimpik dulu selepas tengok cara mereka bermain dengan semangat dan sebagai satu pasukan.

“Saya seronok menyaksika­n persembaha­n mereka dalam tiga perlawanan ini. Saya harap Pan Gon tidak akan diganggu dan biarlah dia bekerja dengan baik untuk tempoh dua atau tiga tahun lalu bagi memantapka­n lagi pasukan kita,” katanya.

Mengulas mengenai perubahan yang disaksikan dalam skuad kebangsaan, Khalid menjelaska­n kemampuan menembusi pertahanan lawan ataupun ‘penetratio­n’ tampak menjadi lebih baik dengan kualiti pemain dan permainan yang ditunjukka­n barisan pemain negara ketika ini.

“Kalau dahulu, kita lihat pemain sayap kita setakat dapat melakukan hantaran lintang tetapi dengan sistem dua sayap kanan dan satu sayap kiri, kita dapat menembusi pertahanan lawan.

“Saya nampak dia gabungkan pemain di mana ada pemain boleh bermain 60 minit, ada yang 70 minit. Memang betul-betul dia tahu mengenai pemain jadi dia rangkumkan sekali.

“Untuk itu, pasukan kita nampak mantap untuk beraksi sepanjang 90 minit,” katanya.

Khalid Ali

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia