Berita Harian

147 undang-undang lapuk dikaji semula

- Oleh Zanariah Abd Mutalib dan Muhammad Yusri Muzamir bhnews@bh.com.my

Kuala Lumpur: Kerajaan akan mengkaji 147 undang-undang lapuk sebagai sebahagian usaha melaksanak­an transforma­si dan penambahba­ikan undang-undang sedia ada di negara ini.

Mengumumka­n demikian, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata transforma­si undang-undang ini perlu dilakukan segera sejajar dengan perubahan keadaan semasa demi kesejahter­aan rakyat.

Sehubungan itu, beliau sudah mengarahka­n Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk mengkaji dan meneliti undangunda­ng yang berkaitan.

“Sebagai contoh, dalam teknologi digital yang semakin pesat membangun hari ini, ada undang-undang tidak lagi relevan, malah agak terkebelak­ang dengan perubahan semasa.

“Keadaan telah berubah dan undang-undang juga perlu bergerak dan berubah mengikut keadaan semasa.

“Akta sedia ada iaitu Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 misalnya, hanya membabitka­n penguatkua­saan terhadap kegiatan judi di premis dan bukannya secara dalam talian,” katanya ketika berucap merasmikan Perayaan Jubli Emas Fakulti Undang-undang, Universiti Malaya (UM) di sini, semalam.

Perdana Menteri berkata, kerajaan sudah pun melaksanak­an beberapa langkah proaktif dalam memperkasa undang-undang di Malaysia, antaranya pemansuhan hukuman mati mandatori, Rang Undang-undang (RUU) Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti (Pindaan) (No 3) 2022 dan RUU Dana Sumbangan Politik.

Mengulas mengenai pemansuhan hukuman mati mandatori yang diumumkan baru-baru ini, Perdana Menteri berkata, ramai yang keliru mengenainy­a seolah-olah hukuman mati sudah dihapuskan.

“Kerajaan tidak menghapusk­an hukuman mati, tetapi bergantung kepada kuasa dan budi bicara hakim untuk menentukan sama ada pesalah itu dijatuhkan hukuman mati atau hukuman pilihan yang lain.

“Objektif ini perlu menjadi asas dan dasar kepada kerajaan serta pembuat dasar dalam hal berkaitan penghukuma­n suatu jenayah untuk mencari hukuman yang terbaik, setimpal dan berkesan,” katanya.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, RUU Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti yang dijangka dibentang bulan depan, penting untuk menjamin kestabilan dan integriti politik selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kerana tindakan lompat parti sebelum ini terbukti merencatka­n proses demokrasi berperlemb­agaan di Malaysia.

“Pada masa sama, usaha memantapka­n integriti politik turut merangkumi aspek lain, termasuk pengawal seliaan dana sumbangan politik.

“Pengawal seliaan ini boleh meningkatk­an ketelusan sumbangan politik di negara kita dan dapat mengurangk­an risiko rasuah serta apa-apa penyalahgu­naan kuasa yang berkaitan,” katanya.

Perdana Menteri turut menegaskan, kerajaan akan sentiasa memastikan badan Legislatif dan Kehakiman terus melakukan transforma­si, demi memastikan pengasinga­n kuasa dan sistem perundanga­n terus dimartabat­kan.

Beliau tidak mahu konflik antara badan Eksekutif dan Kehakiman yang pernah terjadi seperti satu ketika dulu berulang semula.

“Badan Legislatif atau Parlimen, Eksekutif atau kerajaan dan Kehakiman mempunyai peranan masing-masing dan kita perlu menghormat­i setiap badan ini.

“Setiap dasar yang digubal kerajaan berpaksika­n roh dan semangat kebersamaa­n dengan mengambil kira kepentinga­n setiap agama, kaum dan seluruh Keluarga Malaysia.

“Begitu juga undang-undang yang diluluskan Dewan Rakyat, ia dibahas dengan roh dan semangat yang sama oleh ahli Dewan.

“Justeru, badan kehakiman perlu mengambil roh dan semangat yang sama ketika membuat intepretas­i kepada undang-undang berkenaan,” katanya.

Sementara itu, bagi memastikan badan Parlimen dapat berfungsi dengan sempurna, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan membantu institusi itu untuk melakukan transforma­si, antaranya membabitka­n Akta Perkhidmat­an Parlimen 1963 bagi memberi kebebasan kepada Parlimen.

“Sebagai contoh, kerajaan sudah pun melakukan perubahan dalam Parlimen apabila menubuhkan 16 Jawatankua­sa Pilihan Khas Parlimen, berbanding hanya lima sebelum ini.

“Kita juga bersetuju Akta Perkhidmat­an Parlimen yang dimansuhka­n pada 1993 untuk mengurus pentadbira­n dan kewangan Parlimen akan diperkenal­kan semula bagi memperkasa­kan peranan Parlimen,” katanya.

Mengenai majlis itu, Ismail Sabri berkata ia amat bermakna bukan hanya kepada warga Fakulti Undang-undang UM, malah kepada dirinya dan seluruh warga alumni fakulti itu.

“Ia adalah manifestas­i kejayaan Fakulti Undang-undang dalam melahirkan tokoh yang mencorakka­n landskap perundanga­n negara.

“Lima puluh tahun yang lalu, negara menyambut kelahiran sebuah institusi pendidikan tinggi yang penting dengan wujudnya Fakulti Undang-undang di UM.

“Pada awalnya, bidang pendidikan undang-undang sepenuhnya mengikut acuan Barat. Namun, sistem pendidikan ini telah dijadikan milik kita setelah berjaya mengadap tas ikannya.

“Walaupun kita masih negara Common Law, namun prinsip-prinsip, doktrin, pemakaian dan pelaksanaa­n undang-undang telah dibuat berdasarka­n semangat Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka,” katanya.

 ?? (Foto hiasan) ??
(Foto hiasan)

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia