Berita Harian

Ain Husniza buktikan kemampuan raih keputusan cemerlang

-

Shah Alam: Ain Husniza Saiful Nizam yang berdepan isu dakwaan gurauan keterlalua­n oleh seorang guru sebelum ini berkait perbuatan rogol, mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan kelmarin.

Remaja berusia 18 tahun itu berkongsi berita gembira meraih keputusan 7A 1B, dalam ciapan melalui akaun Twitter miliknya, walaupun mengaku tertekan ketika menduduki peperiksaa­n terbabit berikutan dilontarka­n pelbagai kecaman oleh netizen.

Berdasarka­n keputusan dikongsika­n menerusi ciapan itu, Ain Husniza mencatat keputusan A dalam subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Sejarah, Sains, Kesusaster­aan Melayu Komunikati­f dan Pendidikan Seni Visual, selain memperoleh B untuk Matematik.

“Saya tidak boleh cerita macam mana tertekanny­a saya sewaktu SPM yang mana mereka beritahu saya tidak ada berkat dalam pelajaran, ilmu yang saya peroleh adalah haram dan berterusan mengharapk­an saya gagal dalam pelajaran.

“Mereka juga menyindir tubuh badan saya dan menjatuhka­n saya di setiap sudut yang mereka boleh,” katanya dalam ciapan itu, kelmarin.

Malah, Ain Husniza turut berkongsi tangkap layar komen seorang daripada netizen didakwa mengecamny­a sebelum ini yang menjadi antara ratusan warga siber mendoakan kegagalan beliau.

“Bila membaca mesej itu, saya berjanji kepada diri bahawa saya akan membuktika­n mereka salah.

“Ain tak pandai. Ain tak pernah dapat keputusan seperti ini. Bagaimanap­un, Ain percaya ini semua berkat semua guru yang mengajar dan rakan yang saya temui sepanjang perjalanan saya,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia