Berita Harian

Syor beri hak kepada pelarian bekerja secara formal

-

Kuala Lumpur: Kerajaan disaran merangka dasar dan strategi dasar jangka pendek serta panjang mengenai pengurusan pelarian di Malaysia, antara lain bagi membuka ruang kepada pelarian menyumbang kepada ekonomi negara.

Antara strategi disarankan ialah memberi hak kepada pelarian untuk bekerja secara formal di Malaysia, seperti dilaksanak­an di Turki dan beberapa negara lain.

Timbalan Perwakilan Suruhanjay­a Tinggi Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR) di Malaysia, Anna M Pelosi, berkata naratif mengenai pelarian perlu diubah dengan memfokuska­n pada potensi mereka untuk menyumbang kepada masyarakat, berbanding melihat mereka sebagai masalah.

Sekiranya naratif itu berubah, beliau percaya kerajaan dapat membuat keputusan lebih tepat berhubung kaedah menguruska­n pelarian di Malaysia, mendapat manfaat daripada kehadiran mereka serta mengatasi isu kebergantu­ngan pelarian kepada bantuan kemanusiaa­n.

“Pelarian adalah manusia. Mereka bukan melarikan diri dengan membawa pakaian semata-mata, sebaliknya mereka memiliki kemahiran, pengetahua­n dan aset lain yang bernilai kepada negara hos.

“Kita perlu mengubah naratif mengenai pelarian yang berasaskan fakta berbanding persepsi berasaskan rasa takut dan tanggapan, bagi memastikan pengurusan lebih baik bagi isu perpindaha­n paksa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam webinar ‘Perpindaha­n Paksa dan Migrasi: Kisah Colombia dan Malaysia’ anjuran UKM, Pontificia Universida­d Javeriana dan UNHCR, semalam.

Turut dijemput sebagai ahli panel ialah pakar migrasi antarabang­sa Institut Kajian Malaysia dan Antarabang­sa (IKMAS) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Andika Ab Wahab dan pakar hubungan antarabang­sa Pontificia Universida­d Javeriana, Dr Louis Monroy Santander.

Mengulas lanjut, Pelosi berkata, terdapat sejumlah kajian di beberapa negara seperti Amerika Syarikat (AS), Denmark dan Uganda yang membuktika­n negara hos menerima manfaat dari segi ekonomi apabila pelarian diberikan hak dan peluang untuk bekerja secara formal.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia