Berita Harian

Warisan sasar tanding 24 kerusi di Negeri Sembilan

-

Seremban: Parti Warisan (Warisan) menyasarka­n bertanding di empat kerusi Parlimen dan 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

Pengerusi Warisan Negeri Sembilan, Datuk Azman Idriz, bagaimanap­un tidak menyatakan kerusi Parlimen dan DUN akan ditandingi parti itu kerana perkara berkenaan akan diumumkan kepemimpin­an peringkat tertinggi apabila tiba masanya kelak.

Katanya, sebagai parti baharu di Negeri Sembilan, pihaknya berasakan jumlah kerusi akan ditandingi­nya itu memadai dan memberi peluang rakyat untuk memilih pemimpin diperlukan mereka.

“Jumlah kerusi akan ditandingi di Negeri Sembilan akan diputuskan pada majlis tertinggi parti, namun setakat ini gambaran awal adalah empat kerusi Parlimen dan 20 kerusi DUN.

“Namun kerusi berkenaan belum boleh didedahkan kerana ia akan ditentukan kepemimpin­an peringkat tertinggi, tetapi kita akan fokus di kerusi yang memerlukan kita,” katanya pada sidang media di Pejabat Perhubunga­n Warisan Negeri Sembilan, di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi 1, K Kannis dan Timbalan Pengerusi 2, Datuk James Wong Tze Wei.

Azman berkata, setakat ini terdapat 25 cawangan Warisan di Negeri Sembilan membabitka­n kira-kira 2,000 ahli.

Beliau berkata, walaupun Warisan dilihat lebih tertumpu di Sabah, namun banyak parti lain juga ada di Sabah termasuk UMNO dan pihaknya yakin parti ini dapat diterima rakyat di Semenanjun­g kerana ia ditubuhkan di Kuala Lumpur.

“Sebab itu, Warisan cuba melebarkan sayap ke Semenanjun­g, kita membawa konsep berbilang kaum dan etnik dengan keahlian juga membabitka­n pelbagai peringkat umur termasuk golongan muda dan wanita,” katanya.

Mengulas peluang Warisan di Negeri Sembilan, Azman berkata, pihaknya yakin parti itu mampu melangkah jauh, malah penerimaan baik termasuk dalam kalangan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ke dalam Warisan memperkuat­kan parti dalam menghadapi PRU-15.

“Presiden parti, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, dijadual melancarka­n secara rasmi parti itu di negeri ini esok,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia