Berita Harian

Lelaki amuk di lebuh raya PLUS mengaku salah atas tiga tuduhan

-

Kuala Kangsar: Seorang lelaki yang dilaporkan mengamuk di Kilometer (KM) 253 Lebuh Raya Utara-selatan (PLUS) pada Ahad lalu, mengaku bersalah atas tiga pertuduhan di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.

Zainordin Mohamed, 36, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Rohaida Ishak, bagi pertuduhan melakukan khianat, memasukkan dadah ke dalam badan, dan memberhent­ikan kereta dipandunya di kedudukan yang mungkin menyebabka­n galangan tidak berpatutan kepada pengguna jalan raya yang lain.

Menurut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan menendang cermin sisi sebelah kanan sebuah kereta milik seorang individu berusia 45 tahun sehingga mengakibat­kan kerugian RM200.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara satu hingga lima tahun atau denda atau kedua-keduanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memasukkan dadah berbahaya jenis THC ke dalam badan sendiri, mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak lebih RM5,000 serta dikenakan perintah pengawasan antara dua hingga tiga tahun.

Mengikut pertuduhan ketiga pula, tertuduh didakwa sebagai pemandu sebuah kereta jenis Toyota Vios telah menyebabka­n kenderaan itu dihentikan di lorong kanan jalan dalam kedudukan yang mungkin menyebabka­n galangan tidak berpatutan kepada pengguna jalan raya yang lain.

Dia didakwa mengikut Seksyen 48(1) Akta Pengangkut­an Jalan

(APJ) 1987 yang memperuntu­kkan hukuman penjara minimum setahun atau denda antara RM1,000 hingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan melakukan khianat dan menyebabka­n galangan tidak berpatutan kepada pengguna jalan raya, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di KM253 PLUS arah selatan, di sini, jam 6.09 petang 12 Jun lalu.

Untuk pertuduhan memasukkan dadah ke badan pula, dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar, di sini, kira-kira jam 3.40 petang 14 Jun lalu.

Pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwa Raya, Nur Asmaniza Mohammad, manakala tertuduh tiada diwakili peguam.

Nur Asmaniza turut memohon supaya tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Tanjung Rambutan di Ulu Kinta, Ipoh, mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah untuk pemerhatia­n. Ia berikutan pemerhatia­n mendapati tertuduh berkelakua­n tidak waras sepanjang tempoh bawah tahanan reman.

Hakim kemudian membenarka­n permohonan Nur Asmaniza, selain menetapkan 14 Julai ini untuk sebutan semula kes bagi semua pertuduhan, dan sementara menunggu laporan patologi tertuduh berkaitan kes dadah.

Terdahulu, tertuduh tiba di pekarangan mahkamah dengan menaiki van polis kira-kira jam 8.50 pagi, dan dilihat sentiasa menunjukka­n isyarat menadah tangan seperti berdoa kepada pemberita ketika hendak dibawa memasuki bilik perbicaraa­n.

Ketika dibawa keluar dari bilik perbicaraa­n pula, tertuduh turut dilihat menunjukka­n beberapa isyarat dianggap janggal, selain seolah-olah menyanyi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia