Berita Harian

3 ditahan edar heroin 9.3kg

-

Georgetown: Nelayan dan penternak ikan sangkar antara tiga lelaki ditahan kerana disyaki terbabit pengedaran dadah jenis heroin seberat 9.3 kilogram (kg) bernilai RM120,000.

Ketiga-tiga mereka ditahan susulan beberapa serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang di sekitar kawasan Seberang Perai Selatan dan Kuala Kurau, di sini, pada Rabu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Asisten Komisioner Mohd Shukairy Abd Sabhe, berkata tangkapan pertama membabitka­n seorang suspek di Jalan Besar di Nibong Tebal, dekat sini, selepas kereta dipandunya ketika cuba melarikan diri terbabas kira-kira jam 3.50 petang.

“Pemeriksaa­n lanjut ke atas kenderaan berkenaan menemukan 9.3kg dadah yang disimpan dalam plastik hitam di tempat duduk penumpang bahagian hadapan dianggarka­n bernilai RM120,000.

“Ketika ditahan suspek dipercayai dalam perjalanan untuk menghantar dadah terbabit,” katanya ketika sidang media di IPK negeri, semalam.

Susulan itu, katanya, polis melakukan serbuan susulan di mana suspek kedua ditahan di sebuah rumah di Batu Kurau dan seorang lagi di sekitar kawasan awam di Nibong Tebal pada hari sama.

Beliau berkata, polis turut merampas wang tunai RM50,000 dalam milikan suspek ketiga.

“Sindiket itu dipercayai aktif sejak awal Januari lalu dengan dadah dibekalkan bagi pasaran sekitar Pulau Pinang dan Perak.

“Jumlah dadah dirampas dalam serbuan ini dianggar boleh digunakan 45,000 penagih dadah,” katanya.

Mohd Shukair berkata, ujian saringan air kencing mendapati semua suspek berusia antara 34 hingga 53 tahun positif dadah jenis Methamphet­amine, selain mempunyai rekod lampau berkait dadah dan jenayah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia