Berita Harian

Belanda tahan perisik Russia cuba menyusup ke ICC

-

The Hague: Pihak berkuasa Belanda menahan seorang perisik Russia menyamar sebagai rakyat Brazil, cuba menyusup masuk ke Mahkamah Jenayah Antarabang­sa (ICC) yang sedang menyiasat jenayah perang di Ukraine.

Lelaki dikenali Sergey Vladimirov­ich Cherkasov, 36, tiba di Belanda pada April lalu menggunaka­n samaran yang diciptanya sejak 12 tahun lalu.

Namun pihak berkuasa berjaya mengenal pasti identiti palsu lelaki yang menggunaka­n samaran sebagai Viktor Muller Ferreira, 33, dan mengesahka­nnya sebagai ejen perisikan tentera GRU Moscow.

Cherkasow kemudianny­a diterbangk­an ke Brazil yang mana polis menahannya atas kesalahan penipuan identiti.

Pihak berkuasa Belanda berkata, Cherkasov kemungkina­n boleh mengakses maklumat risikan yang bernilai berhubung siasatan ICC terhadap jenayah perang di Ukraine atau mempengaru­hi prosiding jenayah di tribunal terbabit.

Ketua Perkhidmat­an Keselamata­n dan Perisikan Umum Belanda (AIVD), Erik Akerboom, berkata sangat jarang pihaknya dapat menahan ejen Russia yang berkaliber itu.

“Sudah bertahun GRU mencipta identiti palsu ini. Ini adalah usaha yang besar,” katanya seperti dilaporkan agensi berita ANP.

Menurut AIVD, Cherkasov disifatkan sebagai perisik yang bijak menyembuny­ikan hubunganny­a dengan Russia dan tinggal di luar negara menggunaka­n identiti palsu sejak sekian lama.

Ibarat di dalam novel perisikan, pihak berkuasa Belanda turut mengeluark­an dokumen setebal empat muka surat mengenai ‘legenda’ Cherkasov, dipercayai ditulis sendiri oleh Cherkasov sekitar 2010.

Dokumen dalam tulisan Portugis itu dengan banyak kesilapan tatabahasa, termasuk cerita mengenai latar belakangny­a, masalah hubungan dengan keluarga, sifat benci terhadap ikan serta tingkahnya yang jatuh hati kepada guru.

Polis Brazil pula mengesahka­n sudah menahan seorang individu yang tidak dinamakan selepas dia dihalang daripada memasuki Belanda kerana menggunaka­n dokumen pengenalan diri palsu.

“Menggunaka­n skim pemalsuan yang canggih, dia menggunaka­n identiti palsu sebagai seorang warga Brazil yang kematian kedua ibu bapanya,” kata polis dalam satu kenyataan.

Lelaki terbabit memasuki Brazil pada 2010 dan pernah menetap di Ireland serta Amerika Syarikat (AS) sebelum kembali ke Brazil untuk membuat persediaan ke Belanda.

Dia dijadual memulakan tempoh percubaan sebagai penganalis­is muda di ICC selama enam bulan di Bahagian Pemeriksaa­n Awal.

Sementara itu, ICC merakamkan penghargaa­n kepada Belanda kerana mendedahka­n perisik terbabit.

“ICC sudah diberi taklimat oleh pihak berkuasa Belanda dan kami berterima kasih di atas operasi penting ini, khususnya mendedahka­n cubaan mengancam keselamata­n,” kata jurucakap ICC, Sonia Robla. AFP

 ?? (Foto REUTERS) ?? Kereta kebal tentera Russia memasuki bandar Mariupol, Ukraine. Russia didakwa alami kehilangan ramai anggota tentera.
(Foto REUTERS) Kereta kebal tentera Russia memasuki bandar Mariupol, Ukraine. Russia didakwa alami kehilangan ramai anggota tentera.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia