Berita Harian

Pertahan fungsi kehakiman ikut duluan sudah ditetapkan

-

Kuala Lumpur: Badan kehakiman hanya mempertaha­nkan fungsi kehakimann­ya dengan mengikuti duluan atau precedent yang sudah ditetapkan dalam membuat keputusan mengenai isu Perlembaga­an, kata Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Beliau berkata, mungkin ada sesetengah pihak berpendapa­t bahawa badan kehakiman lebih berkuasa berbanding sebelumnya berikutan keputusan mengenai isu Perlembaga­an yang dibuat badan itu kebelakang­an ini.

Dalam melaksanak­an tugas kehakiman, Tengku Maimun berkata, hakim di Malaysia terikat dengan prinsip undang-undang sedia ada.

“Sama ada seseorang hakim itu mengguna pakai atau tidak prinsip-prinsip tersebut, tidak bermakna dia seorang yang liberal atau konservati­f. Pada pandangan saya, hanya ada keputusan koheren secara undang-undang atau tidak koheren - bukan keputusan liberal atau konservati­f,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Jubli Emas Fakulti Undang-undang Universiti Malaya (UM) di sini, semalam.

Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; bekas Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria dan Tun Md Raus

Sharif serta Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Memetik beberapa kes duluan terbaharu, antaranya kes Semenyih Jaya dan Indira Gandhi yang diputuskan, masing-masing pada 2017 dan 2018, beliau berkata, kedua-duanya diputuskan secara sebulat suara oleh lima hakim sebelum beliau dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutua­n.

“Selanjutny­a, terdapat kes yang ketiga, iaitu kes Alma Nudo Atenza pada 2019 yang juga telah diputuskan secara sebulat suara oleh sembilan hakim Mahkamah Persekutua­n, iaitu prinsip undang-undang perlembaga­an yang diputuskan dalam kes Semenyih Jaya dan Indira Gandhi telah diperkukuh­kan.

“Prinsip-prinsip yang telah diputuskan melalui ketiga-ketiga kes di atas, yang sering kali disebut sebagai ‘trilogy of cases’ adalah selari dengan pemahaman saya, yang sedikit sebanyak terbentuk hasil pelajaran yang saya peroleh di fakulti ini,” katanya.

Tengku Maimun turut menekankan prinsip perundanga­n yang diterapkan dalam dirinya sepanjang empat tahun pembelajar­an di Fakulti Undang-undang UM dan sepanjang perjalanan kerjayanya.

“Prinsip-prinsip ini termasuk prinsip keadilan tanpa berat sebelah dan sebagai seorang hakim, kebebasan untuk membuat keputusan berlandask­an Perlembaga­an Persekutua­n dan lunas undang-undang tanpa apa-apa tekanan atau pengaruh dalaman atau luaran.

“Ini juga selari dengan sumpah jawatan dan taat setia seorang hakim, iaitu untuk sentiasa memelihara, melindungi dan mempertaha­nkan Perlembaga­an Malaysia,” katanya.

Beliau turut mengimbau kenangan ketika bergelar mahasiswi fakulti berkenaan bermula 1978, sebelum menerima Ijazah Sarjana Muda Undang-undang pada 1982.

Menyingkap kenangan di fakulti itu, Tengku Maimun berkata, beliau mempelajar­i banyak perkara, bukan sekadar dari sudut undang-undang, tetapi juga nilai dan prinsip kehidupan.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaa­n dan ucapan terima kasih kepada semua pensyarah yang telah banyak memberi tunjuk ajar dan membentuk pemahaman perundanga­n saya hari ini,” katanya. BERNAMA

 ?? (Foto BERNAMA) ?? Tengku Maimun berucap pada Perasmian Perayaan Jubli Emas Fakulti Undang-undang Universiti Malaya.
(Foto BERNAMA) Tengku Maimun berucap pada Perasmian Perayaan Jubli Emas Fakulti Undang-undang Universiti Malaya.
 ?? ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia