Berita Harian

Seri Paduka titah UPNM teroka bidang ilmu baharu

-

Negara perlukan barisan pemikir rangka pelan lindungi kepentinga­n strategik negara

Kuala Lumpur: Yang di-pertuan Agong, Al-sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-mustafa Billah Shah, bertitah negara perlu terus berusaha melahirkan graduan anak tempatan untuk mengisi profesion bernilai tinggi dalam bidang strategi pertahanan dan keselamata­n yang semakin dinamik.

Justeru, titah baginda, pihak berkenaan seperti Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) perlu terus meneroka bidang ilmu terbaharu, bagi menentukan negara sentiasa mempunyai barisan pemikir dan sarjana, yang berupaya merangka pelan jangka panjang bagi melindungi kepentinga­n strategik negara.

“Semua rakan strategik UPNM, khususnya Kementeria­n Pertahanan, Angkatan Tentera Malaysia dan industri pertahanan, untuk terus mengukuhka­n sinergi yang terbentuk erat demi menjulang UPNM ke tahap yang tinggi,” titah Seri Paduka sempena Istiadat Konvokesye­n Ke-11, sidang pertama, UPNM di Pusat Dagangan Dunia di sini, semalam.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandaria­h.

Yang turut hadir Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad dan Naib Canselor UPNM, Lt Jen Datuk Hasagaya Abdullah.

Al-sultan Abdullah yang juga Canselor UPNM, turut bertitah negara perlu dilengkapi aset pertahanan dan keselamata­n yang moden dan berteknolo­gi tinggi.

Titah baginda, ia bagi menghadapi cabaran landskap keselamata­n yang melalui pelbagai evolusi dan semakin kompleks, melibatkan ancaman baharu dalam bentuk siber dan elektronik.

“Justeru, strategi bersepadu wajar dirangka bagi menentukan Malaysia mempunyai ekosistem digital yang kukuh, agar negara terus berdaya saing dalam mendepani transforma­si dunia ke arah digital,” titah Seri Paduka.

Menzahirka­n ucapan tahniah kepada seluruh graduan yang berjaya menamatkan pengajian kali ini, Al-sultan Abdullah turut menzahirka­n rasa bangga dengan pencapaian UPNM yang terus unggul mendominas­i carta kebolehpas­aran graduan dalam kalangan universiti awam.

“Ini jelas membuktika­n universiti ini berupaya dalam melahirkan graduan berkualiti dan bersahsiah unggul,” titah baginda.

Dalam pada itu, Seri Paduka turut bertitah mahasiswa di semua institusi pengajian tinggi awam dan swasta, hendaklah diterapkan dengan semangat bantu membantu dan saling sayang menyayangi merentasi batas kaum dan agama.

“Semangat seperti ini wajar disuburkan dalam usaha membentuk masyarakat penyayang dan bersatu-padu, bagi mewujudkan sebuah bangsa yang cemerlang,” titahnya.

Pada konvokesye­n kali ini, sejumlah 2,229 pelajar berjaya menamatkan pengajian bagi 2020 dan 2021.

Mereka termasuk 32 graduan dianugerah­kan Ijazah Doktor Falsafah (PHD), 118 dianugerah Ijazah Sarjana, 1,518 (Sarjana Muda) dan 561 (Diploma).

UPNM turut menganuger­ahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah kepada tiga tokoh pertahanan negara.

Mereka ialah Pro-canselor UPNM yang juga Panglima Angkatan Tentera (PAT) Ke-13 Laksamana (Bersara) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor, dalam bidang Teknologi Maritim.

Turut menerima anugerah itu ialah PAT ke-14, Jeneral (Bersara) Tan Sri Abdul Aziz Zainal dalam bidang Strategik dan Hubungan Antarabang­sa.

Pengerusi Lembaga Pengarah UPNM yang juga Pengarah Urusan Kumpulan Weststar Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim pula menerima anugerah tersebut dalam bidang Kejurutera­an Aeronatik.

Istiadat kali ini turut menganuger­ahkan Hadiah Akademik 2020 dan 2021 kepada 83 graduan Ijazah Sarjana Muda.

BERNAMA

 ?? (Foto BERNAMA) ?? Al-sultan Abdullah dan Tunku Azizah pada Istiadat Konvokesye­n Ke-11 sidang pertama, UPNM di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, semalam.
(Foto BERNAMA) Al-sultan Abdullah dan Tunku Azizah pada Istiadat Konvokesye­n Ke-11 sidang pertama, UPNM di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia