Berita Harian

Pembenihan awan bermula di Empangan Bukit Merah

- Oleh Fahmy A Rosli dan Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi bhnews@bh.com.my

Paras air kawasan tadahan kritikal ganggu aktiviti pertanian, domestik

Subang: Paras air Empangan Bukit Merah di daerah Kerian, Perak yang mencapai tahap kritikal sejak 27 Mei lalu, sehingga mengakibat­kan gangguan bekalan air memaksa Operasi Pembenihan Awan (OPA) dijalankan selama tiga hari bermula semalam.

Operasi itu dilancarka­n kerana empangan terbabit penting untuk mengairi sawah seluas 19,058 hektar di Kawasan Pembanguna­n Pertanian Bersepadu (IADA) Kerian dan 1,267 hektar kawasan IADA Pulau Pinang.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah, berkata selain mengganggu aktiviti pertanian, situasi yang dialami empangan itu yang merekodkan bacaan kritikal didapati turut memberi kesan terhadap bekalan air bagi tujuan domestik, perikanan dan industri.

“Dalam menangani isu ini, kementeria­n mengambil langkah segera bagi memulihkan bekalan air di kawasan yang terjejas dengan mendapatka­n bantuan daripada Jabatan Meteorolog­i Malaysia (Metmalaysi­a), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Operasi ini akan memberi manfaat kepada 8,889 pesawah di kawasan IADA Kerian dan 1,267 pesawah dari kawasan IADA Pulau Pinang.

“Anggaran kos penerbanga­n OPA pula adalah dalam lingkungan RM80,000 bagi setiap operasi, namun tertakluk kepada penilaian teknikal semasa,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan dan pemantauan persediaan OPA di Pangkalan TUDM di sini, semalam.

Empat tangki masing-masing dengan dengan kapasiti isipadu 1,200 liter air larutan garam diterbangk­an oleh pesawat C-130 yang terbabit dalam OPA. Sebanyak 800 kilogram (kg) garam digunakan untuk tujuan berkenaan.

Dua juruterban­g, seorang pembantu juruterban­g, lapan anak kapal dari TUDM dan tiga kakitangan Pasukan Pembenihan Awan Metmalaysi­a terbabit dalam operasi berkenaan.

Ahmad berkata, OPA mustahak dilaksanak­an terhadap kawasan empangan itu disebabkan kawasan tadahan air itu bergantung sepenuhnya terhadap hujan.

Tambahan pula, beliau berkata ketika ini pesawah di kawasan itu sudah mula menanam padi sejak beberapa bulan lalu, sekali gus OPA perlu disegeraka­n supaya pengairan air ke sawah tidak terganggu.

“Paras air (di Empangan Bukit Merah) pada hari ini pada tahap 27 kaki atau 8.23 meter. Sebelum ini hujan. Satu ketika, paras air tak sampai tahap kritikal, tetapi malang sedikit kerana Empangan Bukit Merah tidak ada mata air. Banyak bergantung kepada hujan.

“Padi sudah ditanam sejak satu hingga dua bulan lalu. Dengan usaha ini, kita nak pastikan air mencukupi supaya dapat hasil bersesuaia­n. Kita tak mahu membebanka­n pesawah yang bukan saja dari segi modal, tetapi mengharapk­an tuaian pada masa akan datang,” katanya.

Pesawah kawasan Parit Mat Keling, Norpadli Samad, 42, berkata mereka amat berharap pembenihan awan yang dibuat dapat memulihkan semula paras air empangan.

“Pesawah khususnya kompartmen Bagan Serai, Semanggol dan Selinsing, amat memerlukan bekalan air yang mencukupi berikutan usia tanaman padi baru mencecah 30 hingga 50 hari.

“Pada usia ini, padi sememangny­a memerlukan air dalam kuantiti yang banyak. Sudah berminggu-minggu sawah kami ‘dahagakan’ air dan hanya bertahan dengan air hujan yang bertakung sahaja. Kami berharap OPA berjaya memulihkan Empangan Bukit Merah,” katanya.

Kuala Lumpur: Jabatan Meteorolog­i Malaysia (Metmalaysi­a) mengesahka­n maklumat tersebar di media sosial bahawa Malaysia akan mengalami cuaca sejuk luar biasa hingga menjejaska­n kesihatan susulan kesan fenomena Aphelion bermula hari ini hingga Ogos sebagai palsu.

Ketua Pengarahny­a, Muhammad Helmi Abdullah, menegaskan fenomena Aphelion dijangka bermula 4 Julai depan iaitu keadaan di mana kedudukan bumi berada dalam orbit paling jauh dari matahari dan ia berlaku setiap tahun dengan masanya kira-kira dua minggu selepas Solstis Musim Panas (21 Jun).

Pada tahun ini, katanya fenomena itu dijangka berlaku pada 4 Julai dan jarak maksimum antara bumi dan matahari ialah 152,098,455 kilometer (km) pada jam 3.15 petang waktu Malaysia dan ia tidak memberi kesan kepada bumi dan negara.

“Ketika musim panas matahari berada jauh dari bumi, sebaliknya ketika musim sejuk matahari lebih hampir dengan bumi.

“Ia fenomena semula jadi yang berlaku setiap tahun berikutan peredaran bumi mengelilin­gi matahari pada orbit berbentuk eliptikal,” katanya.

Terdahulu, tular perkongsia­n memaklumka­n kononnya cuaca sejuk daripada fenomena akan memberi kesan selesema, batuk dan sesak nafas.

 ?? (Foto Mohamad Shahril Badri Saali/bh) ?? Anggota TUDM bersama kakitangan Metmalaysi­a membuat persiapan untuk operasi pembenihan awan sekitar Empangan Bukit Merah, di Pangkalan TUDM Subang, semalam.
(Foto Mohamad Shahril Badri Saali/bh) Anggota TUDM bersama kakitangan Metmalaysi­a membuat persiapan untuk operasi pembenihan awan sekitar Empangan Bukit Merah, di Pangkalan TUDM Subang, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia