Berita Harian

NCVI beri gambaran awal tahap kerosakan pesisir pantai

-

Kuala Lumpur: Indeks Kerapuhan Pantai Negara (NCVI) yang menjadi antara petunjuk penting dalam Rancangan Fizikal Zon Pesisiran Pantai Negara ke-2 (RPP2), juga dapat memberi gambaran awal tahap kerapuhan atau kerosakan kawasan pesisiran pantai negara.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancanga­n) Planmalays­ia, Md Nazri Abdullah, berkata pihak berkaitan boleh meneliti risiko bencana yang akan dialami negara pada masa depan selain membolehka­n bentuk kawalan pembanguna­n dilaksanak­an, melalui indeks berkenaan.

“Jika dulu, kita hanya fokus kepada skop kecil iaitu melihat kepada risiko banjir, hakisan pantai dan sebagainya tetapi kerana keadaan sekarang sudah berubah akibat pemanasan global dan paras air laut juga naik maka kita (Planmalays­ia) berbincang dan bersepakat dengan pihak berkepenti­ngan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran dan Institut Penyelidik­an Air Kebangsaan Malaysia untuk menambahka­n indeks ini dalam RPP-2.

“Tujuannya untuk memberi maklumat asas mengenai tahap kerapuhan (kerosakan) bagi kawasan-kawasan tertentu kerana kita menjalanka­n kajian ini (RPP-2) di peringkat yang agak besar, kita perlukan asas yang dapat berikan kita gambaran awal,” katanya dalam Program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, di sini, malam kelmarin.

RPP-2 yang dilancarka­n oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pada 14 Jun lalu, adalah dokumen panduan dalam merancang pembanguna­n di zon pesisiran pantai dalam mewujudkan Malaysia Berdaya Huni.

Dokumen itu diwujudkan sebagai langkah persediaan menghadapi fenomena perubahan iklim yang sedang berlaku di samping penjagaan serta pemulihara­an kawasan sensitif alam sekitar terutama di kawasan pesisiran pantai.

Md Nazri berkata NCVI itu diwujudkan selepas mengambil kira data yang menunjukka­n bahawa hampir 24 peratus penduduk di Malaysia tinggal di kawasan pesisiran pantai.

“Jadi komitmen semua pihak termasuk pihak berkuasa tempatan negeri untuk sama-sama memberikan tindak balas terhadap perkara yang berlaku di sekeliling persekitar­an mereka penting dalam mengetahui risiko kerapuhan di kawasan dihuni 24 peratus penduduk Malaysia,” katanya.

BERNAMA

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia