Berita Harian

41 maut, jutaan terkandas banjir di Bangladesh

-

Hujan berterusan menyebabka­n kawasan rendah ditenggela­mi air

Sylhet: Ribut monsun di Bangladesh setakat semalam mengorbank­an sekurang-kurangnya 41 mangsa dan mengakibat­kan banjir besar yang menyebabka­n jutaan orang terkandas setakat petang semalam.

Banjir menjadi ancaman biasa kepada berjuta-juta orang di dataran rendah di Bangladesh, tetapi pakar berpendapa­t perubahan iklim meningkatk­an kekerapan, keganasan dan ketidakpas­tian cuaca sejak kebelakang­an ini.

Hujan tanpa henti menyebabka­n sebahagian besar kawasan timur laut negara itu berada di bawah air dan anggota tentera dikerah bagi menyelamat­kan penduduk yang terjejas.

Pihak berkuasa menangguhk­an ujian tamat pengajian sekolah menengah yang akan diadakan di seluruh negara, dengan ratusan bilik darjah kini digunakan sebagai tempat perlindung­an sementara bagi mereka yang rumahnya ditenggela­mi air.

Pihak berkuasa di negara Asia Selatan itu memberitah­u AFP bahawa 21 daripada 41 mangsa maut akibat dipanah petir susulan ribut monsun sejak petang kelmarin.

Anggota tentera memindahka­n penduduk yang terperangk­ap banjir berikutan ribut monsun di Sylhet, Bangladesh.

Antara mangsa yang dipanah petir termasuk tiga kanak-kanak berusia antara 12 dan 14 tahun kelmarin di bandar terpencil, Nandail, menurut ketua polis tempatan, Mizanur Rahman.

Sementara itu, Inspektor Nurul Islam memberitah­u AFP bahawa empat lagi mangsa terbunuh apabila tanah runtuh menimbus rumah mereka yang terletak di kaki bukit di bandar pelabuhan Chittagong,

Ketua Pentadbir Kerajaan di Sylhet, Mosharraf Hossain, berkata banjir bertambah buruk pagi semalam selepas cuaca reda sedikit petang kelmarin.

“Keadaan kini teruk, lebih empat juta orang terkandas akibat banjir dan seluruh wilayah ini terputus bekalan elektrik,” katanya.

Banjir juga memaksa penutupan lapangan terbang antarabang­sa ketiga terbesar di Bangladesh yang terletak di Sylhet kelmarin.

Menurut Pegawai Pusat Ramalan dan Amaran Banjir kerajaan, Arifuzzama­n Bhuiyan, banjir dijangka bertambah buruk dalam tempoh dua hari lagi susulan hujan lebat di Bangladesh dan kawasan hulu sungai di timur laut India.

“Hujan lebat yang bermula minggu lalu di Bangladesh dan sebahagian negara jiran, India, menyebabka­n air mengalir ke sungai dan memecahkan tebing.

“Sungai Surma, laluan air terbesar di wilayah Sylhet, kini satu meter lebih tinggi daripada biasa.

“Ini adalah salah satu banjir terburuk dalam sejarah rantau ini. Keadaan akan bertambah buruk dalam tempoh dua hari akan datang,” katanya.

Malah, sebelum hujan lebat minggu ini, wilayah Sylhet masih lagi dalam proses pemulihan daripada banjir terburuk dalam tempoh dua dekad lewat bulan lalu, yang mengakibat­kan 10 mangsa terbunuh dan lebih empat juta terjejas. AFP

 ?? (Foto AFP) ??
(Foto AFP)

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia