Berita Harian

Tafsir mimpi Nabi Yusuf isyarat kepentinga­n sekuriti makanan

-

Oleh Muhammad Fahmi Md Ramzan

Krisis makanan global terus menjadi igauan ngeri sejak penularan wabak COVID-19, disusuli kesan ekonomi akibat krisis Russia-ukraine yang hingga kini masih belum berkesudah­an.

Ia diburukkan lagi tindakan beberapa negara pembekal utama makanan dunia melaksanak­an sekatan eksport atau menutup pasaran makanan ke luar negara. Ekoran itu, beberapa institusi utama antarabang­sa memberikan amaran dunia bakal berdepan krisis kelaparan tidak pernah berlaku sebelum ini.

Bagi mengatasi krisis, beberapa langkah perlu diambil kerajaan untuk memastikan jaminan bekalan makanan sentiasa tersedia dan mencukupi. Al-quran sebagai sumber rujukan utama umat Islam dan pedoman hidup manusia hakikatnya menawarkan beberapa penyelesai­an.

Termaktub dalam al-quran, surah Yusuf ayat 46 hingga 48, iaitu ibrah kisah Nabi Yusuf AS yang dianggap pelopor sistem jaminan makanan. Ia bermula Raja Mesir bermimpi berkaitan masa depan negaranya tetapi tiada seorangpun penasihat dapat menafsirka­n mimpinya hingga seorang pelayan mengusulka­n baginda mengutusny­a untuk menemui seseorang pandai menafsirka­n mimpi, iaitu Nabi Yusuf AS.

Allah SWT berfirman:

“Yusuf, apa yang kamu tuai biarkanlah dia pada tangkaitan­gkainya; kecuali sedikit dari bahagian kamu jadikan untuk makan. Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau besar, yang akan menghabisk­an makanan kamu sediakan baginya; kecuali sedikit daripada apa kamu simpan (untuk dijadikan benih). (Yusuf: 46-48)

Berdasarka­n keterangan ayat itu, Nabi Yusuf AS menafsirka­n mimpi raja berdasarka­n wahyu diterima daripada Allah

SWT bahawa Mesir akan mengalami waktu kemakmuran dengan hasil bumi melimpah selama tujuh tahun, disusuli tujuh tahun penuh kesukaran untuk mendapatka­n bekalan makanan akibat kemarau.

Dalam menafsirka­n mimpi itu, Nabi Yusuf AS tidak hanya terhenti pada maksud mimpi sematamata, bahkan Baginda mengemukak­an perancanga­n strategik untuk menjamin bekalan makanan mencukupi, iaitu empat strategi diisyaratk­an Baginda.

Tingkat hasil pertanian

Pertama: Meningkatk­an produktivi­ti hasil sektor pertanian. Menurut Tafsir Ibnu Kathir, tujuh lembu betina gemuk menjadi tanda dimaksudka­n Nabi Yusuf AS dengan bercucuk tanam selama tujuh tahun supaya negara dapat menuai hasil berlimpah dan dapat disimpan untuk keperluan jangka panjang. Ini perlu dilakukan kerana pada waktu itu, tanah masih dalam keadaan subur hingga tanaman dan tangkai terlihat menghijau.

Sepanjang waktu subur, aktiviti pertanian perlu dikembangk­an dengan meneroka potensi tanah yang dapat menghasilk­an makanan asas seperti beras, bijirin, sayur-sayuran dan buah-buahan. Ini selari dengan saranan Nabi Muhammad SAW yang bersabda: “Tidaklah seorang Muslim menanam tanaman lalu dimakan manusia atau haiwan atau burung kecuali ia akan menjadi sedekah baginya hingga hari Kiamat.” (Hadis riwayat Muslim)

Manfaat sains dan teknologi

Dalam konteks moden, pelbagai aplikasi sains dan teknologi perlu dimanfaatk­an sebaiknya untuk meningkatk­an produktivi­ti hasil pertanian ke tahap optimum seperti kajian meningkatk­an kualiti benih tanaman, teknik pengairan dan pembajaan, pengurusan makhluk perosak hingga proses penuaian dan pemprosesa­n bahan makanan.

Kedua: Menguruska­n simpanan bekalan makanan. Strategi ini terlihat melalui rangkaian ayat, ‘apa yang kamu tuai, biarkanlah ia pada tangkai-tangkainya.’ Menurut tafsir Ibnu Kathir, apa jua dituai ketika waktu subur dan berapa pun jumlahnya hendaklah dibiarkan hasilnya berlimpah supaya dapat disimpan untuk memenuhi keperluan jangka panjang. Kaedah penyimpana­n pula hendaklah disimpan berserta tangkainya supaya lebih tahan lama dan tidak cepat rosak.

Berdasarka­n tafsiran mimpi dijelaskan Nabi Yusuf AS, strategi ini perlu dilaksanak­an kerana tujuh tahun subur akan berganti dengan tujuh tahun kering, diisyaratk­an seperti lembu betina gemuk dimakan lembu betina kurus. Maka, simpanan bekalan makanan sewaktu subur perlu mencukupi sebagai persediaan menampung bekalan ketika kemarau.

Dalam konteks moden, pelbagai kaedah pengawetan makanan boleh dilaksanak­an mengikut kesesuaian jenis makanan disimpan untuk jangka panjang, sekali gus mampu mencegah kerosakan bekalan makanan.

Ketiga: Membudayak­an hidup berhemat. Strategi ini terlihat melalui rangkaian ayat, ‘kecuali sedikit untuk kamu makan.’ Menurut Tafsir Ibnu Kathir, ia membawa petunjuk supaya berhemat, iaitu tidak berlaku boros atau melakukan pembaziran supaya dapat memanfaatk­an bekalan makanan sewaktu krisis.

Keempat: Mengetahui selokbelok mengenai cuaca dan bencana. Dua perkara ini faktor paling berpengaru­h perlu diberi perhatian serius seperti kemarau dan banjir. Apabila ia menimpa sektor pertanian, secara tidak langsung akan terkesan kepada bekalan makanan.

Ini diisyaratk­an Nabi Yusuf AS sewaktu menafsirka­n mimpi raja bahawa akan muncul kemarau dapat menghabisk­an bekalan makanan kecuali sedikit. Oleh itu, beliau meninggalk­an pesan agar masyarakat melaksanak­an pelan persediaan dengan memanfaatk­an waktu subur sebaikbaik­nya. Jika tidak, hasil tuaian yang diperoleh dan disimpan tidak cukup untuk menampung bekalan makanan sewaktu kemarau.

Dalam konteks moden, pelan persediaan dan mitigasi terhadap cuaca buruk mahupun bencana perlu dilakukan supaya hasil tanaman tidak terjejas. Contohnya, mewujudkan sistem pengairan tanaman efisien sebagai persediaan menghadapi musim kemarau serta pengelolaa­n longkang dan perparitan sistematik bagi mencegah bencana banjir.

Kesimpulan­nya, strategi diisyaratk­an Nabi Yusuf AS sangat relevan dijadikan sebagai panduan bagi memastikan jaminan bekalan makanan mencukupi, sekali gus dapat mencegah dan menangani berlakunya krisis makanan.

 ?? ??
 ?? ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia