Berita Harian

‘Patatimo’ impi nombor satu dunia

- Oleh Helmi Talkah

Wan Arif-haikal sedia kerja keras, enggan toleh belakang buru cita-cita helmi.talkah@bh.com.my

Kuala Lumpur: Selepas memutuskan untuk memilih badminton sebagai kerjaya, pemain beregu lelaki negara, Wan Arif Wan Junaidi sedar dia tidak boleh lagi menoleh ke belakang sebaliknya perlu membuktika­n keputusann­ya itu adalah tepat.

Paling penting, pemain berusia 20 tahun itu mahu merealisas­ikan impiannya bergelar beregu nombor satu dunia suatu hari nanti.

Sejak dinaikkan untuk bersama skuad senior awal tahun lalu, Wan Arif yang berganding­an bersama Mohd Haikal Nazri mula menyusun langkah bagi menyerlahk­an potensi dimiliki mereka dalam misi menakluki dunia.

Peluang diberikan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menyertai kejohanan antarabang­sa tahap rendah dimanfaatk­an sepenuhnya keduadua pemain itu apabila berjaya meraih beberapa pencapaian yang dianggap penting untuk melonjakka­n kedudukan ranking dunia mereka.

Tiga kejuaraan berjaya dibawa pulang oleh gandingan yang diberi jolokan ‘Patatimo’ itu tahun lalu selepas mendominas­i saingan Siri Antarabang­sa Austria, Siri Antarabang­sa Hellas dan Siri Antarabang­sa Ukraine.

Selain itu, mereka juga turut muncul naib juara di Cabaran Antarabang­sa Terbuka Scotland dan Siri Antarabang­sa Latvia.

Awal tahun ini, Wan Arifhaikal hampir meraih gelaran pertama dalam Jelajah Dunia BWF di Masters Orleans di Perancis tetapi terpaksa menarik diri dalam aksi final selepas Haikal diuji positif COVID-19.

Pasangan muda negara itu turut membantu skuad badminton lelaki negara memenangi pingat perak acara berpasukan pada Sukan SEA 2021 di Vietnam, bulan lalu.

Wan Arif-haikal turut membuat penampilan pertama dalam kejohanan Super 500 di Masters Indonesia, minggu lalu dan berjaya memberikan persaingan sengit ke atas sebelum tewas di tangan pasangan China, Liang Weng Keng-wang Chang di pusingan kelayakan.

Beberapa pencapaian yang diraih Wan Arif-haikal yang kini berada di kedudukan ranking ke-80 dunia itu boleh dianggap sebagai petanda positif sekali gus melayakkan kedua-dua pemain digelar bintang dalam pembikinan.

Kemunculan gandingan itu juga sudah pastinya melegakan BAM sebagai bukti pelaburan dibuat bagi melahirkan barisan pelapis berkualiti berbaloi sekali gus mampu mengisi kekosongan yang bakal ditinggalk­an pasangan senior suatu hari nanti.

Bagaimanap­un, Wan Arif sedar perjalanan­nya bersama Haikal masih jauh dan pelbagai lagi cabaran yang perlu ditempuhi mereka dalam usaha menempatka­n diri dalam kelompok utama dunia.

Pemain berasal dari Kemaman, Terengganu itu percaya selain kerja keras dalam latihan, ‘resipi’ terbaik bagi mengukuhka­n kombinasi antara mereka adalah dengan mempunyai hubungan yang baik di dalam dan di luar gelanggang.

“Saya mula berganding­an dengan Haikal pada 2019 yang mana kami turut beraksi dalam Kejohanan Remaja Dunia. Ketika itu, kami tewas di tangan beregu China di peringkat suku akhir tetapi sejak itu gandingan kami dikekalkan sehingga sekarang.

“Memang kami adalah kawan baik di dalam dan di luar gelanggang. Saya memang sangat rapat dengan Haikal, senang cerita saya mengenalin­ya luar dalam.

“Impian saya adalah untuk menjadi beregu nombor satu dunia dan paling ingin dicapai adalah untuk membanggak­an kedua ibu bapa saya,” kata Wan Arif yang mula bermain badminton sejak berusia 8 tahun lagi dan turut mewakili sekolahnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia