Berita Harian

Kerajaan digesa segera laksana langkah atasi krisis ekonomi

-

Kuala Lumpur: Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) menggesa kerajaan menyegerak­an langkah khusus bagi menangani krisis ekonomi membabitka­n orang Melayu.

Felo Kanan MTEM, Ahmad Yazid Othman, berkata kira-kira 60 peratus rakyat negara ini tiada daya tahan ekonomi jika ditimpa kejutan seperti peningkata­n kos sara hidup secara mendadak.

“Biarpun kerajaan menyediaka­n pelbagai inisiatif, ia tidak mencukupi untuk menangani kesan kemiskinan pasca COVID-19.

“Justeru, kita mahu kerajaan terus meluaskan agihan serta menambah bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk merangkumi sehingga lima peratus populasi termiskin dan tidak terhad hanya kepada golongan ‘miskin tegar’ semata-mata.

“Selain itu, pelbagai inisiatif melonjakka­n ekonomi luar bandar boleh dilakukan dengan menambah nilai perkhidmat­an, menggunaka­n teknologi terkini dan menggalakk­an penyelesai­an luar kotak,” katanya pada sidang media pada Forum Kemiskinan Rakyat Malaysia Pasca Pandemik anjuran MTEM, di sini, semalam.

Ahmad Yazid berkata, forum itu dianjurkan berikutan sebahagian besar masyarakat masih merasai tekanan ekonomi berterusan walau sesudah aktiviti ekonomi kembali rancak sejak awal tahun ini.

Malah, hasil dapatan kajian pembentang utama, Zouhair Rosli, maklum balas ahli panelis forum membuktika­n terlalu ramai individu kini menghadapi krisis kemiskinan yang kian meruncing.

“Ini termasuk mengenai pendedahan wujudnya kategori ‘maut ekonomi’ yang merangkumi sehingga lima peratus daripada masyarakat termiskin di dalam dan luar bandar amat mengejutka­n.

“Kita berasa sangat bimbang melihat kemiskinan masyarakat Melayu dan Bumiputera yang dilihat paling ramai terkesan berbanding masyarakat lain,” katanya.

Beliau juga berkata, pihaknya turut bimbang keadaan itu jika dibiarkan berterusan akan turut menghimpit seluruh lapisan rakyat negara ini secara keseluruha­n, bahkan secara tidak langsung menyumbang kepada penularan gejala sosial, kegiatan jenayah dan ketegangan hubungan antara kaum.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia