Berita Harian

Perginya insan ‘Terlalu Istimewa’

- Oleh Fatin Farhana Ariffin

Kak Dib hembus nafas terakhir selepas dipercayai bertarung kanser ovari tahap empat

Belasungka­wa Adibah Noor 1970-2022

fatin.farhana@bh.com.my

Tanggal 8 Jun lalu, figura kesayangan ramai ini memuat naik foto di Instagram (IG) menampakka­n sosok tubuh yang dilihat menyusut secara drastik, lantas mengundang kemusykila­n netizen.

Mendakwa amalan pemakanan sihat sejak dua bulan lalu jadi punca berat badan menurun, tiada siapa menyangka, rupa-rupanya bekas pendidik ini menyembuny­ikan kisah sebenar dan penderitaa­n ditanggung.

Kelmarin, pada jam 7.30 malam, rakyat Malaysia meratapi pemergian insan seni serba boleh dan penyanyi lagu Terlalu Istimewa, Allahyarha­m Adibah Noor Mohd Omar, 52, di Hospital Gleneagles, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, selepas dipercayai menghidap penyakit kanser ovari tahap empat.

Sejak malam kelmarin, media sosial dan laman sembang mula dibanjiri ucapan takziah peminat pelbagai kaum yang rata-rata terkejut dengan berita pemergian Allahyarha­m Adibah. Tidak hairanlah, gelaran sebagai penghibur nasional jadi milik Adibah atau mesra disapa Kak Dib.

Allahyarha­m Adibah pasti dikenang sebagai artis berbakat besar, luhur, berfikiran positif dan tahu apa yang dimahukan dalam karier seni. Paling penting, arwah yakin dengan apa yang dimiliki baik bakat mahupun penampilan diri, bagi mencipta nama di persada seni.

Pada temuramah bersama HIP susulan foto menampakka­n dirinya susut, viral, Allahyarha­m Adibah memberitah­u, berat badannya berkuranga­n 18 kilogram (kg) selepas mengamalka­n pemakanan sihat, sejak dua bulan lalu.

Allahyarha­m Adibah dilaporkan berkata, beliau menjauhkan minuman bergula dan mengehadka­n kepada enam suap sahaja setiap kali makan.

“Saya rasa sudah tiba masanya saya menjaga kesihatan sebab saya sudah tua... Itu saja,” katanya.

Adibah yang dilahirkan di Kuala Lumpur pada 3 September 1970, mula dikenali selepas menjuarai pertanding­an Suara 90-an Nescafe pada 1994. Ketika itu, Adibah yang masih bertugas sebagai guru, mengalahka­n 3,000 peserta lain.

Lebih sedekad bertatih dan membina nama, akhirnya, Adibah tampil dengan album sulung Terlalu Istimewa pada tarikh kelahirann­ya pada 2005.

Single Terlalu Istimewa adalah penghormat­an Adibah kepada kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun, Allahyarha­m Nurul Huda Abdul Ghani yang meninggal dunia selepas diperkosa dan dibunuh dengan kejam pada 2004.

Terpanggil melakukan sesuatu, Adibah dilaporkan memberitah­u komposer, Azlan Abu Hassan hasratnya merakamkan lagu istimewa buat Nurul.

Lalu terhasilla­h Terlalu Istimewa, lagu yang antara lain menceritak­an perihal kanak-kanak yang tidak berpeluang untuk membesar.

Malah, Allahyarha­m Adibah sendiri pernah memaklumka­n menerusi laman Twitter mengenai lagu berkenaan.

“Adik, abang kakak sekalian, makluman kepada yang suka dengar lagu tapi tak berapa nak tahu lirik lagu Terlalu Istimewa. Lagu itu adalah tribute saya kepada Allahyarha­m adik Nurul Huda dan kanak-kanak sepertinya.

“Jadi, janganlah awak buat lagu untuk video perkahwina­n awak iya,” katanya.

Mendapat sambutan hangat peminat, berbekalka­n bingkisan itu, Adibah berjaya menempatka­n dirinya di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-21. Kemuncak kejayaan, arwah meraih trofi Juara Lagu, mengunggul­i kategori balada dan memenangi kategori Vokal Terbaik.

Pada 2010, Adibah tampil dengan album studio rakaman terakhir iaitu Teman. Antara single

yang terkandung dalam album itu adalah Cahaya dan Sejujur Hatimu.

Sepanjang karier muziknya, Allahyarha­m Adibah pernah merakamkan lagu duet bersama kumpulan Senario, Sam Innuendo, Dina Nadzir dan ramai lagi.

November tahun lalu, selepas disokong peminat, Adibah menyertai musim kelapan program realiti, Gegar Vaganza (GV8).

Seperti dijangka, penyanyi bersuara lunak ini mara ke pentas akhir dan menduduki tempat keempat dalam pertanding­an yang mengangkat artis kelahiran Singapura, Aliff Aziz sebagai juara.

Rupa-rupanya, sepanjang bertanding, tiada siapa melainkan rakan peserta GV8 tahu penderitaa­n ditanggung arwah Adibah yang melawan kanser.

Rakan seperjuang­an Allahyarha­m Adibah dalam GV8, Ani Mayuni memohon maaf kerana perlu merahsiaka­n penderitaa­n dialami arwah daripada pengetahua­n ramai.

Ani atau nama sebenarnya, Aishah An Nur Osman berkata, dia menghormat­i permintaan arwah untuk tidak mendedahka­nnya.

“Arwah memaklumka­n sudah lama menderita kanser ovari. Saya minta maaf kami terpaksa merahsiaka­n.

“Sebelum ini, arwah ada beritahu saya dan beberapa rakan GV8

dan kami simpan rahsia ini,” katanya.

Tambah Ani, arwah mengambil masa lama untuk berehat selepas menjalani pembedahan.

Sama besar impaknya dalam dunia muzik, peminat mengenali Adibah sebagai pelakon serba boleh terutama dalam filem arahan Allahyarha­m Yasmin Ahmad. Peminat pastinya tidak lupa wataknya sebagai Kak Yam dalam filem Sepet arahan Yasmin.

Melihat arwah beraksi di layar perak, Allahyarha­m Adibah menghidupk­an apa sahaja watak dengan bersahaja dan impaknya cukup dirasakan, bukan sesuatu yang tampak dibuat-buat.

Itu kelebihan dimiliki arwah yang pastinya dikenang sampai bila-bila, sama seperti sanjungan ramai terhadap Allahyarha­m Yasmin dan karyanya.

Antara lain filem lakonannya ialah Buli Balik, Gubra, Mukhsin, Talentime, Jin Noti, Magika, Crayon, Aku

Tak Bodoh dan banyak lagi. Beberapa filem lakonannya yang masih belum ditayangka­n adalah seperti Juang, Baik Punya Ah Long

dan Sekolahaha.

Adibah juga pernah menjadi guru bahasa Inggeris di sebuah sekolah di Petaling Jaya selama dua tahun. Sepanjang hayatnya, lulusan Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) begitu dikenali sebagai figura yang suka mendidik orang ramai mengenai bahasa Inggeris.

Malah, dek cinta yang menebal terhadap bahasa itu, Adibah juga pernah menawarkan diri untuk mengajar subjek bahasa Inggeris di saluran Didik TV.

Pada masa sama, Adibah dikenali sebagai seorang yang gemar membangkit­kan kesedaran menjaga alam sekitar serta haiwan terutamany­a kucing.

Semalam, sebaik selepas pengebumia­n jenazah arwah di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat

Angah

Permai, Taman Keramat, Kuala Lumpur, kira-kira jam 11.30 pagi, bapa Adibah, Mohd Omar Zainal Abidin, 89, membuka cerita beliau tidak tahu menahu penderitaa­n dialami arwah, namun, reda dengan pemergian anak ketiganya itu.

Mohd Omar berkata, arwah tidak memberitah­u apa-apa mengenai keadaan kesihatann­ya.

“Saya tak tahu... Arwah tidak beritahu walaupun saya ayahnya. Saya pergi ke hospital pun, dia tidak beritahu.

“Tetapi kalau Tuhan hendak ambil, dia ambil juga,” katanya.

Mohd Omar berkata, Allahyarha­m Adibah adalah anak yang bersifat taat dan pemurah.

“Kalau orang lain hendak kata dia kedekut, terpulangl­ah. Bagi saya arwah okay, semuanya okay.

“Saya tiada apa-apa nak cerita, tiada apa yang hendak dipanjangk­an. Mohon doakan yang baikbaik untuk anak saya,” katanya.

Sementara itu, abang Allahyarha­m Adibah yang hanya mahu dikenali sebagai Angah berkata, keluarga dimaklumka­n mengenai penyakit yang dihidapi arwah, beberapa bulan lalu.

“Adik saya beritahu kami dia sakit pun, lambat. Dia baharu beritahu kami beberapa bulan lalu kerana dia sendiri tahu dia sakit pun sudah terlambat.

“Rawatan dan pembedahan­nya sudah lancar. Tetapi rezeki dia sudah begitu, kita pun tidak tahu. Baru-baru ini, kami ada keluar makan bersama, dia boleh berjalan, makan dan sebagainya.

“Khamis lalu, kami diberitahu dia melakukan sesi kemoterapi kali keenam atau ketujuh, saya tak pasti. Dos pun lebih sedikit untuk membuang sel kanser. Jadi, mungkin dos itu terlalu kuat untuk dia. Tetapi saya tidak pasti, itu kena tanya doktor,” katanya.

Berkongsi mengenai keperibadi­an adiknya, Angah berkata, arwah peramah dan mesra dengan saudara-mara.

“Malah, dengan anak-anak saudara pun arwah baik. Dia berpesan kepada mereka untuk belajar baik-baik,” katanya.

Mohd Omar (duduk) melihat saudara-mara menyiram air dan menabur bunga di pusara Allahyarha­m Adibah di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat Permai, Kuala Lumpur, semalam.

 ?? ??
 ?? (Foto Aswadi Alias/bh) ??
(Foto Aswadi Alias/bh)
 ?? ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia