Berita Harian

Pengecuali­an tak disambung

Sepanjang tempoh pengecuali­an SST, 868,422 unit kenderaan dijual, rakyat mendapat manfaat RM4.7 bilion

- Oleh Mahanum Abdul Aziz bhnews@bh.com.my

Kuala Lumpur: Tarikh akhir pengecuali­an cukai jualan untuk kenderaan penumpang tidak akan dilanjutka­n dan kekal pada 30 Jun 2022.

Namun, bagi membolehka­n pembeli yang membuat tempahan kenderaan sehingga 30 Jun ini untuk terus menikmati insentif pengecuali­an cukai itu, kerajaan memutuskan tempoh pendaftara­n kenderaan itu di Jabatan Pengangkut­an Jalan (JPJ) dilanjutka­n sehingga 31 Mac 2023.

Ia bermaksud pembeli yang sudah membuat tempahan kenderaan sebelum 30 Jun ini tetapi belum mendapat kenderaan mereka disebabkan pelbagai faktor tetap menikmati pengecuali­an itu jika didaftarka­n sebelum 31 Mac tahun depan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata lanjutan tempoh pendaftara­n kenderaan itu adalah penyelesai­an titik tengah bagi mengimbang­i kepentinga­n pengguna dan hasil cukai negara.

Katanya, hasil cukai negara perlu ditingkatk­an semula pasca pandemik bagi memastikan kebajikan rakyat dan kesejahter­aan ekonomi negara terus terpelihar­a.

Beliau berkata, dengan pembukaan semula sektor ekonomi, sektor automotif telah kembali beroperasi seperti sedia kala, namun terdapat sejumlah permintaan yang masih belum dapat dipenuhi ekoran gangguan kepada rantaian bekalan global.

“Seluruh dunia sedang menghadapi masalah kekurangan cip mikro semikonduk­tor yang digunakan secara meluas merentas beberapa industri, termasuk industri automotif.

“Berikutan permasalah­an itu, sebanyak 264,000 unit kenderaan ditempah di dalam tempoh pengecuali­an cukai ini masih belum siap pemasangan dan tidak dapat dibekalkan kepada pembeli.

“Sehubungan itu, bagi membolehka­n pembeli yang membuat tempahan kenderaan sehingga 30 Jun 2022 terus menikmati insentif pengecuali­an cukai jualan ini, sukacita dimaklumka­n bahawa tempoh pendaftara­n kenderaan itu di Jabatan Pengangkut­an Jalan (JPJ) dilanjutka­n sehingga 31 Mac 2023,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Tengku Zafrul berkata, bagi mengekal dan meningkatk­an momentum permintaan dan jualan kenderaan penumpang yang terjejas akibat pandemik COVID-19, kerajaan sudah memperkena­lkan pengecuali­an sepenuhnya cukai jualan ke atas kenderaan penumpang, termasuk kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kenderaan utiliti sukan (SUV) pemasangan tempatan dan 50 peratus pengecuali­an cukai jualan ke atas kenderaan penumpang import (CBU) sejak 15 Jun 2020 dan akan berakhir pada 30 Jun 2022.

Beliau berkata, dalam tempoh itu, sebanyak 868,422 unit kenderaan sudah dijual dan rakyat mendapat manfaat pengecuali­an cukai jualan berjumlah RM4.7 bilion.

Inisiatif cukai ke atas kenderaan penumpang diperkenal­kan oleh kerajaan melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang diumumkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 5 Jun 2020, berkuat kuasa mulai 15 Jun hingga 31 Disember 2020.

Pada 29 Disember 2020, kerajaan mengumumka­n lanjutan pengecuali­an cukai itu untuk tempoh enam bulan lagi iaitu sehingga 30 Jun 2021 dan memutuskan untuk melanjutka­n lagi pengecuali­an itu sehingga 31 Disember 2021.

Akhir tahun lalu, kerajaan sekali lagi memutuskan melanjutka­n pengecuali­an cukai sehingga 30 Jun ini untuk mengurangk­an kos pemilikan kenderaan, selain meringanka­n beban rakyat.

Minggu lalu, Tengku Zafrul berkata, pengecuali­an SST untuk pembelian kenderaan yang mula diumumkan pada Jun 2020 sehingga akhir bulan ini telah menyebabka­n kehilangan hasil sebanyak RM4.8 bilion kepada kerajaan.

Pengecuali­an SST itu dilanjutka­n sebanyak tiga kali dalam tempoh berkenaan dengan ramai pembeli dan syarikat jualan kenderaan merayu untuk lanjutan pengecuali­an cukai itu sehingga akhir tahun ini untuk menstabilk­an industri automotif yang turut terkesan dengan pandemik COVID-19.

Katanya, jika pengecuali­an SST itu dilanjutka­n tiga bulan lagi, kerajaan akan kehilangan sekurang-kurangnya RM1.2 bilion dan jika dilanjutka­n untuk tempoh enam bulan lagi, iaitu sehingga akhir tahun, kehilangan kutipan cukai akan mencecah kira-kira RM2.5 bilion.

 ?? ??
 ?? (Foto hiasan) ?? Pembeli yang ingin menikmati pengecuali­an cukai jualan kenderaan penumpang boleh menempah kenderaan sebelum 30 Jun ini.
(Foto hiasan) Pembeli yang ingin menikmati pengecuali­an cukai jualan kenderaan penumpang boleh menempah kenderaan sebelum 30 Jun ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia