Berita Harian

Kertas siasatan kegiatan kartel ayam dibentang minggu depan

Pembentang­an tentukan keputusan syor atau tindakan bakal diambil

- Oleh Suzalina Halid suzalina@bh.com.my

Kuala Lumpur: Kertas siasatan berhubung kegiatan kartel ayam yang sedang dijalankan Suruhanjay­a Persaingan Malaysia (MYCC) akan dibentangk­an kepada anggota suruhanjay­a itu, minggu depan.

Menteri Perdaganga­n Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata pembentang­an itu bagi menentukan keputusan cadangan atau tindakan bakal diambil terhadap pihak terbabit daripada hasil siasatan.

“Kertas siasatan berkenaan akan dibentangk­an kepada anggota suruhanjay­a pada 27 Jun ini,” katanya kepada BH, di sini, semalam.

Sebelum ini, BH melaporkan MYCC kini dalam peringkat akhir melengkapk­an siasatan terhadap sekumpulan syarikat dalam rantaian bekalan ternakan ayam berhubung kemungkina­n wujud kartel yang mempengaru­hi harga dan bekalan.

Laporan sebelum ini menyebut syarikat terbabit terdiri daripada pengimport dan pengeluar sebagai komponen industri utama dalam pembekalan ayam di negara ini yang disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Persaingan 2010.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sebelum ini turut menyatakan siasatan MYCC berhubung laporan wujud kartel yang mengawal harga dan pengeluara­n ayam dalam kalangan syarikat besar akan selesai pada Jun.

Pada masa sama, Alexander berkata, siasatan itu kini masih pada peringkat akhir dan belum selesai sepenuhnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MYCC, Iskandar Ismail, berkata keputusan cadangan yang menetapkan tindakan diambil berhubung siasatan kartel ayam terbabit dijangka diperoleh bulan depan.

Beliau berkata, keputusan cadangan itu akan hanya ditetapkan selepas kertas siasatan dibentangk­an kepada semua anggota suruhanjay­a pada 27 Jun ini.

“Melalui pembentang­an kertas siasatan ini, kita tidak memanggil syarikat yang sedang disiasat sebaliknya hanya anggota suruhanjay­a.

“Selepas itu, keputusan cadangan akan dikeluarka­n dan kita jangka kes ini boleh diselesaik­an secepat mungkin,” katanya

Beliau berkata, sebaik selesai kelak, pihaknya menjangka persaingan dalam industri ayam boleh ditingkatk­an, sekali gus menambah bekalan di pasaran.

Katanya, sepanjang tahun ini MYCC mempunyai lebih 20 kes siasatan termasuk penipuan bida, namun pihaknya memberi tumpuan dan keutamaan terhadap isu kartel ayam terlebih dulu.

“Kita tidak mahu melakukan siasatan secara tergopoh-gopoh kerana tidak mahu nanti pihak yang sepatutnya perlu bertanggun­gjawab, akan terlepas.

“Disebabkan kami berdepan kekurangan kakitangan, kami perlu meletakkan kes lain ke tepi dulu dan memberi keutamaan terhadap siasatan kartel ayam ini,” katanya.

"Kertas siasatan akan dibentangk­an kepada anggota suruhanjay­a pada 27 Jun ini "

Alexander Nanta Linggi, Menteri Perdaganga­n Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna

"Melalui pembentang­an kertas siasatan ini, kita tidak memanggil syarikat yang sedang disiasat sebaliknya hanya anggota suruhanjay­a"

Iskandar Ismail,

Ketua Pegawai Eksekutif MYCC

 ?? ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia