Berita Harian

PAS Kedah tolak ‘khemah besar’, fokus penyatuan ummah

-

Alor Setar: PAS Kedah menolak sebarang usaha melaksanak­an ‘khemah besar’ dalam kalangan parti politik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), sebaliknya kekal menyokong gagasan penyatuan ummah.

Pesuruhjay­a PAS negeri, Datuk Ahmad Yahaya, berkata rakyat sedar bahawa berlaku penipuan dan kerakusan dibuat kepemimpin­an Pakatan Harapan (PH) yang mengambil alih pemerintah­an negara selama 22 bulan selepas PRU Ke-14 lalu.

Katanya, berikutan itu agenda menyatukan semua kumpulan berteraska­n ikatan Melayu-islam perlu dilakukan pada PRU-15 tanpa melupakan semangat kepelbagai­an kaum yang ada di negara ini.

“PAS Kedah menyatakan sokongan terhadap gagasan penyatuan ummah sebagai strategi ampuh mendepani cabaran PRU Ke-15 akan datang. Pendirian ini selaras kenyataan dibuat kepemimpin­an tertinggi PAS yang meletakkan keutamaan agenda menyatukan semua kumpulan berteraska­n ikatan Melayu-islam, di samping tidak melupakan kepelbagai­an kaum di negara ini.

“PAS percaya prinsip penyatuan ummah adalah ramuan utama kerangka politik Islam seperti yang disarankan dalam al-quran dan diterapkan dalam kerangka Budaya Politik Matang dan Sejahtera. Bahkan ia juga adalah asas yang meletakkan kepentinga­n Islam sebagai keutamaan sesuai dengan identiti Malaysia yang dijelaskan dalam Perkara 3(1) Perlembaga­an Persekutua­n,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Mengulas lanjut, Ahmad menegaskan, gagasan penyatuan ummah juga dilihat mampu mentadbir negara secara baik dan wajar terus diteruskan.

“Rakyat kini sedar penipuan dan kerakusan yang dibuat kepimpinan PH yang mengambil alih pemerintah­an selama 22 bulan sejak berakhirny­a PRU-14 lalu. Kesedaran terhadap kebangkita­n ummah ini memberikan ruang kepada PAS dan rakan komponen Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) untuk menyelamat­kan negara daripada terus diseleweng.

“Oleh itu, gagasan penyatuan ummah yang menjadi teras kestabilan politik pada era pascapande­mik ini perlu diteruskan, sekali gus menolak ‘khemah besar’. PAS yakin prinsip penyatuan ummah ini akan terus memacu pentadbira­n yang cemerlang pada peringkat Persekutua­n dan di Kedah,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia