Berita Harian

Syor tubuh suruhanjay­a kaji undang-undang lapuk

- Oleh Rohaniza Idris roha@bh.com.my

Bertindak sebagai badan bebas tanpa AGC untuk semak, teliti

Kuala Lumpur: Sebuah suruhanjay­a pembaharua­n undang-undang perlu ditubuhkan bagi mengkaji dan meneliti undang-undang sedia ada termasuk 147 undang-undang yang sudah lapuk.

Penasihat Khas kepada Perdana Menteri (Undang-undang dan Hak Asasi Manusia), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata suruhanjay­a itu perlu bertindak sebagai badan bebas yang tidak berada di bawah Jabatan Peguam Negara (AGC), bagi melaksana kajian dan semakan undang-undang negara.

Suruhanjay­a itu perlu diketuai tokoh kehakiman terkemuka dan dianggotai wakil Majlis Peguam dan ahli akademik dalam bidang perundanga­n.

“Suruhanjay­a pembaharua­n undang-undang ini nanti bukan saja melengkapk­an kerja Peguam Negara, tetapi juga akan meningkatk­an kecekapan proses penggubala­n undang-undang.

“Hakim, ahli akademik dan ahli politik yang sudah bersara mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang kehakiman dan perundanga­n boleh disenaraik­an, Janganlah kita mensia-siakan bakat dan pemikiran hebat mereka ini,” katanya dalam kenyataan di media sosial semalam.

Azalina yang juga ahli Jawatankua­sa Pilihan Khas Dewan Rakyat berkata, pada masa ini sudah ada undang-undang yang mengawal untuk semakan dan pembaharua­n undang-undang iaitu

Akta penyemakan Penyemakan Undang-undang 1968 (Akta 1).

Namun, katanya, bahagian semakan undang-undang dan pembaharua­n undang-undang masih di bawah bidang kuasa Jabatan Peguam Negara.

Justeru, pindaan perlu dibuat pada Akta 1 untuk menaik taraf pesuruhjay­a undang-undang menjadi suruhanjay­a penuh supaya ia dapat menjadi badan bebas.

“Dengan itu akan dapat memastikan undang-undang Malaysia dapat dikaji semula dan syor pembaharua­n undang-undang dapat dibuat tanpa kawalan pihak eksekutif,” katanya.

Beliau juga menegaskan kepentinga­n mengembali­kan kebebasan kepada Parlimen untuk kesuburan serta kesejahter­aan demokrasi di negara ini.

Selaras itu, katanya Peguam Negara perlu mengembali­kan usaha menggubal undang-undang ini kepada Parlimen.

“Perlu ada kebebasan daripada kawalan eksekutif. Dengan itu membolehka­n ahli Parlimen dan senator dapat menyumbang secara konstrukti­f bagi penggubala­n dan semakan semula undang-undang.

“Ahli Parlimen adalah kumpulan penggubal undang-undang, jadi mengapa kita hanya membenarka­n pihak eksekutif membuat undang-undang baharu atau meminda undang-undang lama?” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pengerang berkata, ahli Parlimen dan senator perlu dibenarkan serta dibantu untuk melaksanak­an peranan mereka sebagai penggubal undang-undang dan menunaikan janji yang dibuat kepada pengundi.

“Mereka perlu mempunyai akses untuk lebih mahir dalam merangka undang-undang terutama bagi mengemukak­an usul persendiri­an apabila diperlukan nanti,” katanya.

Beliau berkata, pada sambutan Perayaan Jubli Emas Fakulti Undang-undang Universiti Malaya dan di hadapan ketua hakim negara, Perdana Menteri menyatakan komitmen untuk mempertaha­nkan kebebasan badan kehakiman di negara ini.

“Badan kehakiman memainkan peranan penting dalam menjaga hak rakyat. Pada 10 Jun 1988, Parlimen meminda Perkara 121(1) Perlembaga­an Persekutua­n untuk menghapusk­an peruntukan yang secara nyata mengenai ‘kuasa kehakiman ke atas Perlembaga­an Persekutua­n’ melalui Mahkamah Tinggi dan mahkamah sivil yang lain.

“Kesannya, Perkara 121(1) kini hanya menyatakan bahawa mahkamah itu ‘akan mempunyai bidang kuasa dan kuasa yang mungkin diberikan mengikut undang-undang Persekutua­n’,” katanya.

Justeru, katanya timbul persoalan mengenai kedudukan kuasa kehakiman sekarang.

Beliau menegaskan pemulihan kedudukan badan kehakiman selepas 1988 penting untuk mengesahka­n doktrin pengasinga­n kuasa.

 ?? ?? Azalina Othman Said
Azalina Othman Said

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia