Berita Harian

KKR perlu peruntukan RM3.4B baiki jalan

-

Gerik: Kementeria­n Kerja Raya (KKR) memerlukan peruntukan RM3.4 bilion bagi membaiki jalan Persekutua­n yang rosak di seluruh Semenanjun­g Malaysia.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata peruntukan diperlukan bagi memulakan kerja penambahba­ikan dari segi penurapan, membuat lapisan atau jalan baharu, yang dijangka siap semuanya tahun depan.

“Kita sedar, banyak keutamaan diambil kira sebelum peruntukan dikeluarka­n yang kadangkala tidak mencukupi, seperti RM68 juta yang diperlukan di Laluan Persekutua­n FT004 (Jalan Timur Barat) ini.

“Kita tidak salahkan Kementeria­n Kewangan (MOF), tetapi itulah cabaran dihadapi. Namun kita akan cari jalan untuk membaikiny­a dari segi jangka pendek atau jangka panjang.

“KKR sudah kenal pasti jalan tunggakan, bukan saja di Perak tetapi di seluruh Semenanjun­g Malaysia yang perlu diperbaiki selepas lima atau tujuh tahun tarikh hayatnya, kerana lapisan asal jalan tidak mampu lagi menampung (trafik). Bayangkan pula jika jalan itu dibina 40 tahun lamanya seperti di Gerik ini,” katanya pada sidang media selepas sesi taklimat berhubung Laluan Persekutua­n FT004 (Jalan Timur Barat) kira-kira 130 kilometer dari Ipoh, semalam.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Fadillah berkata, kebiasaann­ya, antara langkah awal atau pelan jangka pendek dilakukan KKR, dengan membuat tampalan semula sebelum membina lapisan atau jalan baharu di lokasi jalan Persekutua­n yang dikenal pasti.

Mengulas lawatannya, Fadillah berkata, kerja penampalan dan penurapan di jalan itu akan dibuat segera Sabtu ini, selepas tinjauan kira-kira sejam bersama Saarani di kawasan itu dan melihat sendiri kesukaran dihadapi pengguna.

Laluan Persekutua­n FT004 itu adalah jalan utama Timur-barat di zon utara Malaysia yang menghubung­kan tiga negeri bermula di Kulim, Kedah melalui Gerik, Perak dan berakhir di Pasir Puteh, Kelantan dengan jarak keseluruha­n jalan adalah 291.99 kilometer.

Laluan FT004 dalam Perak adalah sepanjang 114.660 kilometer bermula di Seksyen 83.74 di sempadan Kedah dan berakhir di Seksyen 198.40 di sempadan Jeli, Kelantan.

Antara jenis kerosakan jalan dikenal pasti termasuk kerosakan permukaan jalan, garisan cat jalan pudar, kerosakan lampu jalan dan kerosakan longkang yang mengakibat­kan air bertakung. BERNAMA

 ?? (Foto BERNAMA) ?? Saarani (tiga dari kanan) bersama Fadillah (dua dari kanan) meninjau keadaan jalan Persekutua­n yang rosak di Jalan Gerik- Jeli, semalam.
(Foto BERNAMA) Saarani (tiga dari kanan) bersama Fadillah (dua dari kanan) meninjau keadaan jalan Persekutua­n yang rosak di Jalan Gerik- Jeli, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia