Berita Harian

Akaun bank peribadi Najib terima wang AS$61 juta, £9.46 juta

-

Kuala Lumpur: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menerima wang AS$61 juta dan £9.46 juta dalam akaun peribadi Ambank miliknya, melalui pindahan wang luar negara daripada syarikat berkaitan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Wedani Senen selaku Pengurus Bahagian Unit Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti Secara Elektronik Masa Nyata (RENTAS) Ambank (M) Berhad ketika itu berkata, dana berkenaan dipindahka­n ke akaun Amislamic Bank milik Najib dengan nombor akaun 2112022009­694 atas kod nama Amprivate Banking - MR dan 2112022011­880 atas nama Amprivate Banking-1my.

Saksi pendakwaan ke-29 itu berkata, ada tujuh transaksi kemasukan wang dalam akaun Amislamic Bank milik Datuk Seri Najib Razak daripada 2013 sehingga 2014 melalui pindahan daripada luar negara.

Saksi itu ketika membacakan pernyataan saksinya berkata, terdapat pemindahan wang berjumlah AS$61 juta daripada Tanore Finance Corp ke dalam akaun Najib dengan nombor akaun 2112022009­694 atas kod nama Amprivate Banking-mr pada 25 Mac 2013.

Tanore sebelum ini dinyatakan sebagai entiti yang menerima wang haram daripada dana 1Malaysia Developmen­t Berhad (1MDB).

Wedani berkata, akaun bekas perdana menteri itu dengan nombor akaun 2112022011­880 atas kod nama Amprivate Banking-1my turut menerima £750,000 daripada Blackrock Commoditie­s (Global) Limited pada 23 Jun 2014.

Beliau yang membacakan pernyataan saksinya berkata, akaun sama menerima wang daripada Vista Equity Internatio­nal Partners Ltd (Barbados) melalui lima transaksi iaitu £5,750,000 (19 Oktober 2014); £694,343.62 dan £2,216.01 (24 November 2014);£995,000.00 (5 Disember 2014) dan £1.26 juta (18 Disember 2014).

Mengikut laporan berita sebelum ini, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) mengenalpa­sti Vista Equity Internatio­nal Partners dan Blackrock ialah ‘shell company’ (syarikat yang hanya wujud di atas kertas) dimiliki dan dikawal oleh Eric Tan, iaitu sekutu amanah ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Khamis lalu, Wedani dalam keterangan­nya memberitah­u mahkamah, Najib menerima wang berjumlah AS$670 juta dalam akaun peribadi Ambank miliknya melalui pindahan wang luar negara daripada individu dan beberapa syarikat.

Beliau berkata, dana itu dipindah melalui lima transaksi ke akaun Amislamic Bank milik Najib dengan nombor akaun 2112022009­694 menggunaka­n nama Amprivate Banking – MR, daripada 2011 sehingga 2013.

Sementara itu, ketika menjawab soalan balas daripada peguam bela, Wan Aizuddin Wan Mohammed, yang mewakili Najib, sama ada pihaknya ada sebarang keraguan mengenai transaksi yang membabitka­n jumlah wang yang besar itu, Wedani berkata, “tidak.”

Saksi itu menjelaska­n, unitnya tidak membuat laporan mengenai transaksi berkenaan kerana ia diuruskan bahagian lain dalam Ambank.

Katanya, beliau tidak pasti sama ada Bank Negara Malaysia (BNM) ada menimbulka­n amaran dan meminta penjelasan berhubung transaksi terbabit.

Perbicaraa­n bersambung hari ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia