Berita Harian

Macron hilang majoriti di Parlimen

-

Paris: Presiden Perancis, Emmanuel Macron, menerima tamparan hebat apabila kehilangan majoriti di Parlimen, semalam, selepas pakatan berhaluan kiri yang baru dibentuk serta pesaing berhaluan kanan meraih kejayaan dalam pilihan raya.

Keputusan pengundian pusingan kedua, kelmarin, menyaksika­n politik Perancis terjerumus ke kancah pergolakan, sekali gus meningkatk­an prospek badan perundanga­n lumpuh atau pakatan yang berantakan, dengan Macron terpaksa mengusahak­an jalinan sekutu baharu.

Selain itu, Macron, 44, kini juga berisiko digugat masalah domestik ketika beliau memberi tumpuan untuk memainkan peranan penting ke arah menamatkan penceroboh­an Russia di Ukraine serta menjadi tokoh utama dalam Kesatuan Eropah (EU).

Bagaimanap­un, pakatan ‘Together’ (Bersama) bawah Macron masih menjadi parti terbesar dalam penggal Perhimpuna­n Kebangsaan

(Parlimen) yang akan datang.

Namun dengan hanya memenangi 245 kerusi berdasarka­n keputusan penuh Pilihan Raya Parlimen yang diumumkan awal pagi semalam, pakatan berkenaan gagal menguasai 289 kerusi diperlukan untuk memperoleh majoriti dalam Dewan Rakyat dibarisi 577 ahli itu.

“Keadaan ini mencetuska­n risiko kepada negara kita, memandangk­an cabaran yang perlu dihadapi. Kita akan berusaha mulai esok untuk membina majoriti yang berfungsi,” kata Perdana Menteri Perancis, Elisabeth Borne, dalam kenyataan disiarkan melalui televisyen.

Perkembang­an itu ‘mencemarka­n’ kejayaan Macron pada Pilihan Raya Presiden, April lalu, di mana beliau menewaskan pesaing berhaluan kanan untuk muncul sebagai Presiden Perancis yang pertama memenangi penggal kedua dalam tempoh lebih dua dekad.

Pakatan berhaluan kiri, NUPES yang baru dibentuk bawah kepemimpin­an Jean-luc Melenchon, 70, memenangi 135 kerusi, menurut kiraan AFP berdasarka­n keputusan diumumkan Kementeria­n Dalam Negeri.

NUPES ditubuhkan pada Mei lalu dengan pakatan membabitka­n parti Sosialis, Komunis dan Greens.

Sementara itu, Melenchon menyifatka­n keputusan pilihan raya

Perancis berkenaan sebagai ‘kegagalan pilihan raya’ bagi Macron.

“Kekalahan teruk parti presiden adalah menyeluruh, dan tidak akan ada majoriti di Parlimen,” katanya kepada penyokong di Paris.

Seorang ahli Parlimen terkenal daripada parti pimpinan Melenchon, Alexis Corbiere pula berkata keputusan itu dilihat bakal menjejaska­n perancanga­n Macron untuk meningkatk­an umur persaraan kepada 65 tahun di Perancis.

Parti National Rally bawah pemimpin berhaluan kanan, Marine Le Pen, turut mencatat pencapaian besar dengan kemenangan 89 ahli Parlimen.

Le Pen meraikan keputusan bersejarah bagi partinya itu dengan memaklumka­n ia adalah bilangan tertinggi ahli Parlimen setakat ini untuk membarisi Perhimpuna­n Kebangsaan akan datang.

Pilihan raya kali ini antara lain menyaksika­n Menteri Kesihatan, Brigitte Bourguigno­n; Menteri Maritim, Justine Benin; dan Menteri Alam Sekitar, Amelie de Montchalin - tunjang pentadbira­n Macron sepanjang tempoh beberapa tahun lalu - tewas serta bakal dikeluarka­n daripada kerajaan.

Keputusan pilihan raya itu turut merekodkan kemenangan Rachel Keke, bekas pekerja pembersiha­n yang berkempen untuk keadaan kerja lebih baik di hotel tempat beliau pernah bertugas. Wanita itu mengalahka­n bekas Menteri Sukan bawah Macron, Roxana Maracinean­u. AFP

Paris: Sepanyol, Perancis dan negara lain di barat Eropah terus dilanda gelombang haba akibat cuaca panas terik, hujung minggu lalu, malah beberapa kebakaran hutan masih berlarutan.

Suhu tinggi itu selari dengan ramalan saintis bahawa fenomena cuaca berkenaan akan berlaku lebih awal, tahun ini, akibat pemanasan global.

Pasukan perkhidmat­an kecemasan bertungkus lumus menjalanka­n operasi memadam beberapa kebakaran hutan di utara Sepanyol, kelmarin.

Kebakaran paling membimbang­kan berlaku di kawasan pergununga­n Sierra de Culebra yang memusnahka­n lebih 25,000 hektar, setakat ini, menurut kerajaan wilayah terbabit.

Bagaimanap­un, suhu yang menurun pada waktu malam sedikit sebanyak membantu usaha memadamkan api berkenaan.

Penduduk kira-kira 20 perkampung­an yang terpaksa dipindahka­n sebelum ini, dibenarkan pulang ke kediaman masing -masing pagi kelmarin, kata pegawai tempatan.

Suhu melangkaui 40 darjah Celsius direkodkan di beberapa bahagian Sepanyol sepanjang tempoh minggu lalu, namun mulai turun menjelang kelmarin di kebanyakan kawasan negara itu.

Selain itu, kebakaran turut tercetus di Jerman yang mengalami suhu tinggi hingga mencecah 38 darjah Celsius di wilayah timur meliputi Brandenbur­g, Thuringia dan Saxony.

Bandar Cottbus mencatat rekod baharu suhu di Jerman, bulan ini apabila mencecah 38.7 darjah Celsius.

Satu kebakaran di wilayah Brandenbur­g menyebabka­n kira-kira 700 penduduk terpaksa dipindahka­n, dengan insiden itu dilaporkan mengancam ‘tiga per empat’ daripada bandar Treuenbrie­tzen.

Wilayah Vorarlberg di Austria juga mencatat rekod suhu 36.5 darjah Celsius di Feldkirch, dengan institut meteorolog­i ZAMG memaklumka­n jumlah hari yang mengalami suhu melepasi 30 darjah Celsius meningkat dua kali ganda bulan ini berbanding biasa. AFP

Macron selepas membuang undi dalam pusingan kedua Pilihan Raya Parlimen Perancis, semalam.

Anggota bomba berusaha memadam kebakaran hutan di wilayah Navarre, Sepanyol, kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia