Berita Harian

Bekas pejuang gerila dipilih jadi Presiden Colombia

-

Bogota: Bekas pejuang gerila, Gustavo Petro, dipilih sebagai Presiden berhaluan kiri pertama Colombia, kelmarin, selepas mengalahka­n ahli perniagaan jutawan, Rodolfo Hernandez, pada pilihan raya penuh ketegangan.

Petro, 62, yang juga bekas Datuk Bandar Bogota, mencatat kemenangan apabila berjaya meraih 50.4 peratus undi berbanding Hernandez yang memperoleh 47.3 peratus undi.

“Ini bukanlah perubahan untuk memburukka­n lagi perpecahan di Colombia. Perubahan ini adalah untuk meninggalk­an kebencian dan perpecahan. Kita mahu Colombia yang bersatu dalam kepelbagai­an,” kata Petro.

Hernandez, 77, menerima keputusan itu selepas ketingga lan dengan jurang kira-kira 700,000 undi.

“Saya berharap Encik Gustavo Petro tahu bagaimana mentadbir negara, dan berpegang kepada wacananya bagi menentang rasuah,” kata hartawan terkenal dalam industri pembinaan itu.

Petro bakal menggantik­an Ivan Duque yang dilarang bertanding semula dalam pilihan raya mengikut Perlembaga­an Colombia.

Dalam satu lagi pencapaian bersejarah, aktivis alam sekitar dan feminis, Francia Marquez, 40, bakal menjadi wanita berkulit hitam yang pertama menyandang jawatan Naib Presiden Colombia.

Kira-kira 320,000 anggota polis dan tentera dikerah bagi memastikan keselamata­n susulan kebimbanga­n akan tercetus keganasan pasca pilihan raya disebabkan keputusan pengundian yang sengit.

Pemerhati pilihan raya mendakwa, seorang daripada pemantau pilihan raya pihak Petro dan seorang tentera terbunuh di bahagian selatan negara ini.

Colombia yang dilaporkan tidak asing lagi dengan keganasan politik, dengan lima calon Pilihan Raya Presiden dibunuh sepanjang tempoh abad ke-20.

Malah, sebelum berlangsun­g pusingan pertama Pilihan Raya Presiden tahun ini, beberapa calon dilaporkan menerima ancaman bunuh.

Dalam pada itu, kemenangan Petro disambut baik pemimpin berhaluan kiri di rantau berkenaan, termasuk Presiden Mexico, Andres Manuel Lopez Obrador dan Presiden Chile, Gabriel Boric.

AFP

Petro berucap selepas mencatat kemenangan pada pusingan kedua Pilihan Raya Presiden Colombia, semalam.

 ?? (Foto REUTERS) ??
(Foto REUTERS)
 ?? (Foto REUTERS) ??
(Foto REUTERS)

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia