Berita Harian

Nasib berbeza tuan rumah

-

Kuala Lumpur: Nasib berbeza dialami lima pasukan tuan rumah pada minggu ke-10 aksi Liga Super yang menyaksika­n tiga daripadany­a menang sementara dua lagi kecewa diikat lawan masing-masing.

Tumpuan pasti terarah kepada ‘kemusnahan’ di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang dicetuskan Selangor FC apabila membelasah pendatang baharu, Sarawak United dengan keputusan 7-0.

Itu adalah kemenangan terbesar dalam saingan Liga Super pada musim ini dengan Brendan Gan yang tampil buat kali pertama pada musim ini mencetus malam sempurna buat The Red Giants dengan gol pembukaan seawal minit ketujuh.

Penyerang mereka, Herlison Caoin terus membuktika­n reputasiny­a sebagai penggempur berbisa dengan melakar hatrik pada aksi terbabit untuk menghimpun sembilan gol dan terikat dengan penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Bergson da Silva.

Satu lagi pasukan tuan rumah, Sabah FC melonjak ke tangga teratas Liga Super dengan memintas skuad Harimau Selatan selepas mengetepik­an cabaran Sri Pahang FC di Stadium Likas.

Kejayaan skuad Badak mengutip mata penuh itu dibayangi dengan kegagalan dua pemain mereka iaitu Baddrol Bakhtiar dan Neto Pessoa menyempurn­akan sepakan penalti yang dihadiahka­n kepada mereka pada aksi terbabit.

Sementara itu, Terengganu FC (TFC) pula meneruskan momentum selepas ‘berehat’ panjang apabila menewaskan juara Piala Malaysia, KL City FC 2-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Dua lagi pasukan tuan rumah pula gagal memanfaatk­an kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri apabila membenarka­n lawan mencuri satu mata daripada mereka.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia