Berita Harian

KKM jangka kekurangan ubat mulai stabil Julai

- Oleh Muhammad Yusri Muzamir dan Irwan Shafrizan Ismail bhnews@bh.com.my

Kementeria­n terus perkukuh hospital awam, siap siaga cabaran kesihatan global

Kuala Lumpur: Kementeria­n Kesihatan (KKM) menjangkak­an bekalan ubat tertentu yang sebelum ini berkuranga­n akan kembali stabil, mulai bulan depan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata pihaknya mendapati 85 peratus daripada 47 fasiliti kesihatan yang disemak secara rawak mengalami kekurangan sekurang-kurangnya satu jenis ubat.

“Kita juga sudah melaksanak­an beberapa semakan secara rawak untuk melihat keadaan kekurangan ubatan, membabitka­n tujuh hospital, 10 klinik swasta dan 30 premis farmasi, (dengan) 85 peratus daripada 47 fasiliti ini telah melaporkan sekurang-kurangnya satu jenis ubatan mengalami kekurangan.

“Kebanyakan ubatan diguna adalah bagi sakit biasa seperti batuk, selesema, demam dan antibiotik untuk kanak-kanak.

“Malah, minggu lalu KKM setuju meminjamka­n ubat-ubatan kepada mana-mana fasiliti perubatan swasta yang tidak cukup ubat-ubatan mereka. Saya jangkakan situasi ini akan stabil mulai Julai dan seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi dialog Menteri Kesihatan sempena Persidanga­n Pengarah-pengarah Hospital (KKM) di sini, semalam.

BH sebelum ini melaporkan, beberapa jenis ubat-ubatan mengalami kekurangan di pasaran, termasuk di klinik swasta berikutan kegagalan pembekal dari luar negara menghantar bekalan mengikut tempoh ditetapkan akibat kekurangan bahan mentah.

Antara ubat didakwa mengalami kekurangan adalah ubat batuk, demam dan antibiotik yang disifatkan penting untuk rawatan harian pesakit, selain ubat untuk merawat penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) disebabkan peningkata­n kes itu di seluruh negara.

Susulan pendedahan itu, KKM mencari strategi bagi penyelesai­an jangka masa sederhana dan panjang berhubung isu kekurangan bekalan ubat termasuk meneroka sumber baharu atau bekerjasam­a dengan industri farmaseuti­kal tempatan.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah menghantar sampel bahan kandungan aktif 1,231 produk kepada pendaftar produk bagi mendapatka­n maklum balas sejak 16 Jun lalu.

“Kita sudah terima maklum balas 50 peratus daripada pihak terbabit, yang mana ada kekurangan sudah pun dilapor kepada persatuan perubatan, hospital dan sebagainya supaya mereka dapat memperoleh ubat ubatan alternatif,” katanya.

Dalam pada itu, Khairy berkata, pihaknya akan terus memperkuku­h hospital awam supaya sentiasa siap siaga dalam menghadapi cabaran kesihatan global.

“Kita tahu pandemik COVID-19 bukan satu-satunya pandemik yang dihadapi manusia, kita bakal menghadapi lebih banyak dan ini bukan pandemik terakhir,” katanya.

Dalam pada itu, Khairy menggesa orang ramai mengambil dos penggalak kedua vaksin COVID-19 selepas mengambil kira tiada laporan berhubung kesan sampingan dos terbabit diterima KKM.

Katanya, 107,844 direkodkan sudah menerima dos penggalak kedua di seluruh negara sehingga kelmarin, dengan 57,834 daripada angka itu warga emas.

“Kita akan terus menggalakk­an semua pihak, terutama warga emas dan individu yang mempunyai penyakit kronik untuk mendapatka­n dos penggalak kedua.

“Setakat ini, kita tak dapat laporan kesan sampingan dos penggalak kedua dan ia amat digalakkan terutama bagi mereka berusia 60 tahun ke atas yang mempunyai penyakit kronik,” katanya.

Sementara itu, Khairy berkata, seramai 397 kanak-kanak menerima dos pertama vaksin COVID-19

melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKIDS) yang dibuka semula sejak kelmarin, dengan 150 daripadany­a baru mencapai usia lima tahun.

Beliau berkata, kempen selama lima hari sehingga Jumaat ini, dibuat bagi memberi peluang kepada ibu bapa untuk mendapatka­n vaksin bagi anak mereka berusia lima tahun ke atas, selain menjangka angka itu meningkat sepanjang tempoh berkenaan.

“Untuk PICKIDS kita sudah mulakan satu kempen khusus untuk dibuat semula sempena Minggu Imunisasi Kebangsaan, walaupun sebelum ini, kita umumkan PICKIDS tamat 31 Mei lalu untuk kanak-kanak berusia lima tahun ke atas,” katanya.

Mengenai situasi COVID-19, Khairy berkata, penularan wabak itu di seluruh negara masih terkawal, namun KKM akan terus memberi peringatan agar masyarakat sentiasa bersedia menghadapi gelombang baharu.

 ?? (Foto Mohamad Shahril Badri Saali/bh) ?? Khairy pada sidang media di Kuala Lumpur, semalam.
(Foto Mohamad Shahril Badri Saali/bh) Khairy pada sidang media di Kuala Lumpur, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia