Berita Harian

Trend angka mingguan kes HFMD tunjuk penurunan

-

Putrajaya: Penularan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) pada Minggu Epidemiolo­gi (ME) 24/2022 dari 12 Jun hingga Rabu minggu lalu, mencatat penurunan 19.3 peratus kepada 10,556 kes berbanding 13,077 jangkitan pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata trend angka mingguan kes HFMD menunjukka­n penurunan sejak ME 22/2022 selepas ia mencapai kemuncak tertinggi pada ME 21/2022.

“Selangor menjadi penyumbang terbesar dengan merekodkan bilangan kes tertinggi berbanding negeri lain, iaitu 29,880 jangkitan (28.1 peratus).

“Ia diikuti Kuala Lumpur dan Putrajaya 11,687 kes (11.0 peratus), Perak (10,938 kes / 10.3 peratus), Johor (7,052 kes / 6.6 peratus) dan Kelantan (6,532 kes / 6.1 peratus),” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham memaklumka­n tahun ini setakat Rabu minggu lalu, 106,477 kes HFMD dilaporkan, meningkat 39 kali ganda berbanding 2,710 jangkitan dalam tempoh sama tahun lalu.

Selain itu, katanya, ia juga meningkat 3.4 kali ganda berbanding 31,500 kes dalam tempoh sama pada 2019 (sebelum pandemik COVID-19).

Dalam pada itu, beliau berkata, kanak-kanak menjadi golongan paling banyak dijangkiti HFMD dengan 95,175 kes (89 peratus) membabitka­n mereka yang berusia enam tahun ke bawah, diikuti kumpulan berumur tujuh hingga 12 tahun dengan 9,183 jangkitan (sembilan peratus).

“Berdasarka­n survelan jenis virus (enteroviru­s) penyebab HFMD di Malaysia, tiga virus utama yang mengakibat­kan penularan penyakit itu dalam komuniti pada 2022 adalah Enteroviru­s 71 (EV71), Coxsackie A6 (CA6) dan Coxsackie A16 (CA16).

“Dua kes HFMD yang disahkan dijangkiti EV71 masih berada bawah pemantauan rapi di Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana mengalami komplikasi radang otak (encephalit­is),” katanya.

Hingga kini, Dr Noor Hisham berkata, 2,012 wabak dilaporkan di Malaysia yang mana Kuala Lumpur dan Putrajaya mendahului dengan 650 wabak (32.3 peratus), diikuti Sarawak (312 wabak / 15.5 peratus) dan Selangor (252 wabak / 12.5 peratus).

Beliau menjelaska­n, wabak didefinisi­kan sebagai penularan HFMD dengan jumlah kes dua atau lebih dalam satu lokaliti, dan jangkitan mempunyai kaitan epidemiolo­gi serta berlaku dalam tempoh inkubasi penyakit.

Shah Alam: Jabatan Kesihatan Selangor (JKNS) mengesahka­n satu kluster Penyakit Seperti Influenza (ILI) dikesan di sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) di daerah Gombak.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman, berkata kluster itu mula dikesan di sekolah terbabit pada 19 Jun lalu apabila Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Gombak menerima notifikasi kes pertama daripada fasiliti kesihatan swasta mengenai seorang pelajar didapati positif Influenza A.

“Kes itu bermula apabila pelajar terbabit mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan pada 17 Jun lalu.

“Hasil siasatan pihak PKD Gombak mendapati terdapat satu lagi kes membabitka­n pelajar sekolah sama, dimasukkan ke sebuah hospital swasta bagi menerima rawatan akibat jangkitan Influenza A.

“Hasil siasatan mendapati secara keseluruha­n, ada 226 pelajar mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk, selesema dan sakit tekak, di mana enam disahkan positif Influenza A dengan kadar serangan jangkitan 32.7 peratus,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Setakat ini, Dr Sha’ari berkata, seorang pelajar positif Influenza A terbabit sedang menerima rawatan di hospital dan berada dalam keadaan stabil, manakala pelajar lain dirawat sebagai pesakit luar.

“PKD turut menjalanka­n ujian COVID-19 ke atas 69 pelajar bergejala dan mendapati semuanya negatif,” katanya.

Justeru, beliau memaklumka­n, PKD Gombak sudah mengambil langkah kawalan dan pencegahan, termasuk bekerjasam­a dengan pentadbira­n sekolah bagi menjalanka­n aktiviti kawalan serta pencegahan penyakit berjangkit.

“Ia membabitka­n pengesanan serta pengasinga­n kes dan perawatan awal di sekolah, serta mengesan kes yang memerlukan rawatan lanjut di hospital.

“Selain itu, membantu pihak sekolah melaksanak­an aktiviti disinfeksi dan menjalanka­n aktiviti pendidikan kesihatan berkaitan pencegahan penularan kluster ILI,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, JKNS menasihati orang ramai termasuk pentadbir institusi pendidikan dan jagaan sama ada kerajaan mahupun swasta, agar sentiasa mengamalka­n langkah kawalan kendiri.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia