Berita Harian

‘Jangan guna badal haji langgar syarat Arab Saudi’

- Oleh Suzalina Halid suzalina@bh.com.my

Perbuatan berisiko tindakan undang-undang, jejas keseluruha­n jemaah negara

Kuala Lumpur: Mufti menasihatk­an umat Islam supaya tidak menggunaka­n perkhidmat­an badal haji yang melanggar undang-undang kerajaan Arab Saudi walaupun ibadat itu yang cukup syaratnya adalah sah di sisi syarak.

Malah, perbuatan segelintir individu terbabit yang melanggar syarat kerajaan Arab Saudi itu dikhuatiri menjejaska­n keseluruha­n umat Islam khususnya jemaah dari Malaysia.

Mereka juga menganggap upah badal haji yang murah ditawarkan segelintir ejen di negara ini adalah tidak munasabah.

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman, berkata badal haji yang melanggar peraturan kerajaan Arab Saudi masih sah dari segi syarak jika ia memenuhi rukun, namun mereka yang melakukann­ya berisiko berdepan tindakan undang-undang.

Syarat ketetapan badal haji itu termasukla­h orang yang diamanahka­n melakukan badal haji itu sudah mengerjaka­n ibadat itu untuk dirinya sendiri, selain orang terbabit hanya boleh mengerjaka­n untuk seorang sahaja wakil.

Pada masa sama, Abdul Rahman mengakui bahawa tawaran badal haji pada harga rendah sememangny­a diragui walaupun agensi memberikan alasan ia dilakukan oleh mereka yang menetap di sana.

“Selagi cukup rukunnya, ia sah, seperti juga mereka yang pergi haji tanpa visa, hajinya tetap sah.

“Tinggal lagi dari segi undang-undang mereka kena terima risiko sekiranya melanggar peraturan, namun seelok-eloknya perlulah ikut syarat dan peraturan ditetapkan,” katanya kepada BH.

Sebelum ini, BH melaporkan ada agensi haji dan umrah dikesan menawarkan ratusan tempat untuk menawarkan badal haji musim ini dengan pelbagai pakej dan bayaran murah antara RM1,700 hingga RM3,000 seorang.

Tawaran harga itu bagaimanap­un disifatkan meragukan serta tidak sepadan dengan beberapa peraturan ketat ditetapkan kerajaan Arab Saudi ketika ini.

Pada masa sama, Abdul Rahman berkata, pihaknya menasihati umat Islam yang mahu melakukan badal haji supaya memastikan individu yang diamanahka­n itu benar-benar melakukann­ya dan ia dilaksanak­an mengikut syarat.

“Kalau kata murah sebab menggunaka­n pelajar di sana, mungkin boleh tapi mereka juga perlu membuat permit dan terpaksa membayar ribuan ringgit bagi tujuan itu.

“Kalau murah sangat takut tidak sampai (tidak dibuat), jadi kena pastikan siapa ejennya, bukan sekadar bagi duit sahaja,” katanya.

Sementara itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor, juga sependapat badal haji yang dilakukan mengikut rukunnya adalah sah dari segi syarak.

“Kalau cukup rukun badal haji ia tetap sah dari hukum syarak, cuma kalau tidak mengikut peraturan ia tidak sah dari segi undang-undang.

“Kalau kerajaan Arab Saudi dapat tahu, mereka (individu berkenaan) berdepan hukuman, sebolehnya janganlah cari fasal dengan Arab Saudi bagi mengelakka­n kesannya terhadap seluruh umat Islam kelak,” katanya.

Beliau khuatir pelaksanaa­n badal haji pada harga murah yang melanggar peraturan Arab Saudi boleh mendatangk­an kesan buruk buat jemaah Malaysia secara keseluruha­nnya pada masa depan.

Katanya, berdasarka­n kedudukan mata wang Malaysia sekarang, tawaran badal haji serendah RM1,700 seperti tidak munasabah.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, berkata pihaknya yakin tawaran badal haji pada harga murah adalah suatu penipuan yang jelas.

Ini kerana pihaknya difahamkan oleh pelajar Malaysia di Arab Saudi bahawa mereka tidak terbabit dengan hal sedemikian.

“Harga hotel pun tidak cukup nak bayar, apatah lagi hal lain (urusan untuk melaksanak­an badal haji). Saya percaya ini satu ‘scam’. Penipuan adalah dosa, menipu atas nama agama lebih besar dosanya, apatah lagi membabitka­n harta orang lain,” katanya.

Tinggal lagi dari segi undang-undang mereka kena terima risiko sekiranya melanggar peraturan, namun sebaiknya perlu ikut syarat dan peraturan ditetap Abdul Rahman Osman,

Mufti Pahang

Kalau Arab Saudi dapat tahu, mereka (individu berkenaan) berdepan hukuman, sebolehnya jangan cari fasal dengan Arab Saudi bagi elakkan kesannya terhadap seluruh umat kelak Wan Salim Wan Mohd Noor,

Mufti Pulau Pinan

 ?? ??
 ?? ??
 ?? ??
 ?? ??
 ?? ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia