Berita Harian

Malaysia dapat permit hospital di Makkah

-

Makkah: Malaysia berjaya memperoleh pengiktira­fan dan menjadi negara pertama mendapat permit untuk hospital beroperasi bagi musim haji 1443H/2022, kata Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata, berbanding negara lain, kecekapan Malaysia sentiasa diperakui Kementeria­n Kesihatan Arab Saudi dan mereka sedia maklum bahawa petugas Lembaga Tabung Haji (TH) akan mematuhi peraturan serta syarat ditetapkan.

“Satu majlis serahan permit yang dikeluarka­n ini telah diadakan oleh Kementeria­n Kesihatan Arab Saudi pada minggu lalu dan ia dihadiri wakil Kementeria­n Kesihatan (KKM).

“Ini menunjukka­n komitmen dan susun atur kerja yang cekap daripada KKM serta petugas perubatan TH. Ini juga menunjukka­n bahawa TH dan KKM menitikber­atkan persiapan menjaga kesihatan jemaah haji di Tanah Suci,” katanya ketika ditemui pemberita di bangunan Abraj Al Janadriyah yang menempatka­n ibu pejabat TH dan jemaah haji Malaysia, di sini.

Syed Saleh berkata, kejayaan itu juga adalah bukti pasukan perubatan TH sentiasa menjalanka­n kerja secara tersusun dan komited dalam memberi perkhidmat­an terbaik.

“Pencapaian yang agak membanggak­an kerana kita yang pertama (mendapat permit). Ia membuktika­n pasukan perubatan kita membuat kerja tersusun dan komited sehingga memenuhi syarat, termasuk bangunan, peralatan, sistem pembuangan sisa-sisa dan jumlah kakitangan.

“Itu syarat-syarat yang dikenakan Arab Saudi, dan ini menunjukka­n keyakinan Arab Saudi terhadap Malaysia bahawa apabila membuat sesuatu, semuanya akan mengikut peraturan dan terbaik dengan gerak kerja sistematik,” katanya.

Selain itu, Syed Saleh turut menasihati jemaah agar tidak memaksa diri melakukan aktiviti yang boleh menjejaska­n kesihatan, apatah lagi menjelang Hari Wukuf, tidak lama lagi. Cuaca yang terlampau panas dan kering hingga mencecah suhu 50 darjah Celsius menyebabka­n jemaah haji mudah dijangkiti penyakit.

“Saya mahu menasihati jemaah supaya sentiasa memakai pelitup muka, terutama di dalam Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Jemaah haji juga perlu teliti barangan makanan yang dibeli... pastikan bersih dan basuh dulu buah-buahan sebelum makan.

“Dalam keadaan yang panas ini, kita harus menjaga diri supaya tidak terdedah kepada cuaca terlalu panas dan sentiasa meminum air secukupnya untuk mengelak pelbagai penyakit, termasuk strok haba,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia