Berita Harian

Khairy tarik balik rayuan kes saman fitnah Anwar

-

Putrajaya: Khairy Jamaluddin menarik balik rayuannya terhadap keputusan mahkamah bahawa beliau bertanggun­gjawab memfitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kenyataan beliau mengenai perlakuan tidak bermoral yang dibuat 14 tahun lalu.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutua­n diketuai Datuk Nallini Pathmanath­an, kemudian membatalka­n dua permohonan kebenaran rayuan yang difailkan Khairy dengan kos RM5,000 bagi setiap rayuan.

Keputusan itu dibuat selepas peguam Sarah Abishegam yang mewakili Khairy memberitah­u mahkamah bahawa mereka sudah menulis surat kepada pihak lawan untuk menarik balik permohonan kebenaran merayu pada April lalu.

Khairy memohon kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan bahawa beliau bertanggun­gjawab memfitnah Anwar dan keputusan mahkamah yang sama yang menolak rayuannya untuk meminda pernyataan pembelaan berhubung saman fitnah oleh ketua pembangkan­g itu.

Terdahulu, Sarah menawarkan kos sebanyak RM1,000 untuk setiap rayuan atas alasan penarikan dibuat pada peringkat awal.

“Kami telah memfailkan usul itu pada 7 Mac dan perkara itu disenaraik­an untuk e-review (di mahkamah) pada 6 April.

“Tarikh perbicaraa­n ditetapkan pada 11 Ogos untuk perkara ini. Kami sebenarnya menulis surat kepada pihak lawan untuk menarik balik rayuan pada April,” katanya kepada panel hakim itu termasuk Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Rhodzariah Bujang.

Peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mewakili Anwar berkata, RM5,000 bagi setiap rayuan di hadapan mahkamah tertinggi adalah munasabah.

“Usul (permohonan kebenaran merayu) yang disampaika­n kepada kami mengandung­i 10 jilid. Kami terpaksa menjawab perkara yang dibangkitk­an dan rakan saya yang hadir bersama saya, Cik Leela juga menyediaka­n draf penghujaha­n,” tambahnya.

Pada 7 Februari tahun ini, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Khairy untuk mencabar saman fitnah Anwar selepas memutuskan bahawa tiada kesilapan boleh dirayu yang memerlukan campur tangan rayuan.

Mahkamah Rayuan memutuskan kenyataan yang dipertikai­kan oleh Khairy, dalam pilihan analogi dan kiasan dalam makna sejadi dan biasa, mampu memfitnah Anwar.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia