Berita Harian

RAHSIA AWET MUDA

-

SIAPA yang tidak terganggu memikirkan usia semakin meningkat. Selain bentuk fizikal, kudrat juga semakin terhad. Cuba fikir sejenak, mahukah kita menjadi seorang tua yang lemah, tidak berdaya, cerewet, pelupa, rabun, tidak sihat dan lebih selesa bersendiri­an tatkala anak cucu datang menjenguk atau menjadi warga tua yang cergas, aktif, sihat dan gembira menempuh saat persaraan.

Definisi peningkata­n usia yang dikaitkan dengan nombor tidak lagi relevan. Penuaan adalah proses semula jadi yang tidak boleh dielakkan, tetapi ia boleh dilengahka­n. Pakar perubatan hari ini tidak lagi mentakrifk­an tua berdasarka­n umur biologi (angka), sebaliknya lebih melihat kepada tahap kesihatan seseorang.

Ramai tidak sedar banyak yang boleh dilakukan individu untuk kekal aktif dan sihat dalam meniti usia tua. Risiko dan beban penyakit kronik meningkat dengan pertambaha­n warga tua. Begitupun ia boleh dicegah sekiranya mengamalka­n gaya hidup sihat, saringan kesihatan tahunan pada peringkat awal bagi mengesan penyakit dan melengahka­n merebaknya penyakit dengan perubahan gaya hidup dan pengambila­n makanan seimbang.

Dalam meniti usia tua, risiko mendapat penyakit kronik seperti kardiovask­ular, diabetes, tekanan darah tinggi, dementia dan Alzheimer adalah tinggi selain penyakit berkaitan kesihatan mental, kanser dan pelbagai lagi.

Menggalakk­an warga tua aktif mental dan fizikal penting buat populasi yang semakin meningkat usia ini dengan mengamalka­n pemakanan seimbang kerana ia mampu mengurangk­an risiko sakit jantung, strok, diabetes jenis 2, masalah tulang, beberapa jenis barah dan anemia.

Ramai warga tua berubah menjadi sangat memilih makanan, ada juga yang enggan mendengar nasihat doktor untuk mengamalka­n pemakanan seimbang dan penuh nutrisi bagi memastikan terus sihat, cergas dan aktif.

Masalah kesihatan paling lazim diterima ialah arthritis dan sakit sendi, sakit belakang, osteoporos­is, masalah pendengara­n, hilang peng-lihatan, hilang ingatan, tekanan, hilang stamina dan hilang selera.

Kebanyakan masalah ini boleh dicegah dengan amalan gaya hidup sihat. Masalah berkaitan sakit sendi dan arthritis pula boleh dialihkan atau dilengahka­n daripada merebak dengan ubat-ubatan.

Kini kajian saintifik menyeluruh dijalankan terhadap sel stem bagi

menangguh atau melambatka­n proses penuaan sel manusia secara semula jadi supaya mereka kekal kelihatan muda walaupun sudah berusia.

Kajian menunjukka­n, menjelang 2050 warga tua atau populasi kelabu ini dijangka mencecah dua bilion dan 80 peratus daripada jumlah itu tinggal di negara membangun. Ini membuktika­n paras lanjut usia penduduk juga semakin panjang dengan 80 peratus kematian berlaku ketika usia mencecah lebih 60 tahun.

Sekiranya warga tua mampu mengekalka­n kesihatan dan kesejahter­aan diri, mereka juga mampu memainkan peranan yang cukup efektif dalam membangunk­an bangsa dan negara dengan berkongsi pengalaman, kepakaran, skil dan kebijaksan­aan.

Petua kekal muda

Lakukan senaman ringan setiap hari bergantung pada tahap kesihatan, untuk kekal cergas dengan memastikan fizikal dan mental sihat dan mandiri. Individu yang tidak aktif lebih mudah mendapat penyakit jantung berbanding mereka yang aktif.

Elakkan terjatuh kerana ia boleh menyebabka­n kecederaan, retak dan maut. Keretakan akibat terjatuh biasanya menjejaska­n bahagian punggung, pelvik, tulang belakang dan lengan. Makan makanan rendah lemak, diet tinggi serat dan pastikan pemakanan seimbang seperti buah, sayur, bijirin dan kekacang. Dapatkan nasihat doktor sebelum melakukan sebarang senaman, diet atau makanan tambahan.

Minum banyak air, berhenti merokok dan elakkan alkohol. Kekalkan harga diri - bawa diri anda dengan penuh keyakinan dengan gaya berpakaian menarik, gaya rambut, menjaga penampilan wajah dengan melakukan penjagaan dan rawatan muka.

 ?? ??
 ?? ??
 ?? ??
 ?? ??
 ?? ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia