Berita Harian

Indonesia mahu bekalkan ayam ke Singapura

-

Langkah alternatif republik susulan keputusan Malaysia had eksport mulai bulan ini

Jakarta: Pihak berkuasa Indonesia berharap dapat capai persetujua­n dengan Singapura bagi mula mengekspor­t ayam dalam tempoh seminggu lagi, ketika republik itu terdesak mencari bekalan alternatif selepas Malaysia mengehadka­n eksport ayam.

Susulan masalah bekalan akibat isu kekurangan makanan dan masalah rantaian bekalan yang mengancam seluruh dunia, Malaysia mengehadka­n eksport ayam mulai bulan ini sehingga keluaran tempatan dan kos operasi bertambah stabil.

Tindakan itu memberi kesan besar kepada Singapura terutama bagi restoran dan gerai menghidang­kan nasi ayam, yang menjadi makanan pilihan utama dan dianggap hidangan nasional di republik itu.

Pegawai kanan di Kementeria­n Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Susiwijono Moegiarso, berkata pihak berkuasa sudah mengadakan ‘perbincang­an teknikal’ dengan Singapura dan berharap eksport dapat dimulakan bulan ini.

Agensi Makanan Singapura pula, dalam satu kenyataan, memaklumka­n ia sedang ‘bekerja rapat’ dengan pihak berkuasa Indonesia berhubung akreditasi kepada negara itu sebagai sumber berpotensi import ayam.

Pengerusi Persatuan Ternakan Unggas Indonesia, Achmad Dawami, berkata negara itu menghasilk­an 55 juta hingga 60 juta ayam seminggu, dengan lebihan antara 15 hingga 20 peratus selepas memenuhi keperluan domestik.

Katanya, eksport ke Singapura, yang dianggarka­n mempunyai permintaan sekitar

3.6 juta hingga empat juta ayam sebulan, dapat menampung peningkata­n permintaan pasaran.

REUTERS

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia