Berita Harian

Kremlin dakwa warga AS ditahan lakukan jenayah

-

Konflik Russia-ukraine

Russia masih siasat kesalahan, hukuman bergantung hasil siasatan

Washington: Dua warga Amerika Syarikat (AS) yang ditahan di Ukraine ketika berperang dengan tentera Kyiv didakwa ‘membahayak­an’ tentera Russia dan harus ‘bertanggun­gjawab atas jenayah itu’.

Perkara itu dinyatakan jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov, kelmarin dalam satu temu bual bersama NBC News.

NBC menyatakan, ini adalah julung kali Kremlin mengulas mengenai kes veteran AS berkenaan, Alexander Drueke dan Andy Huynh.

“Mereka adalah tentera upahan dan terbabit dalam kegiatan haram di wilayah Ukraine. Mereka menembak dan membedil anggota tentera kita, mereka membahayak­an nyawa tentera kita.

“Mereka harus bertanggun­gjawab atas jenayah yang dilakukan. Jenayah ini perlu disiasat,” kata

Warga Amerika Syarikat, Andy Hyunh, yang dipercayai menjadi askar upahan diberkas tentera Russia ketika berperang bagi pihak Ukraine dan kini ditahan di lokasi rahsia.

Peskov kepada rangkaian itu, dalam bahasa Inggeris pada bahagian pertama temu bual yang disiarkan kepada umum.

Apabila diasak dengan soalan mengenai jenayah yang dilakukan warga AS terbabit, Peskov mengakui kesalahan khusus mereka belum diketahui, namun mendakwa ia tidak dilindungi di bawah Konvensyen Geneva mengenai tawanan perang.

“Mereka bukan (dalam) tentera Ukraine, jadi mereka tidak tertakluk kepada Konvensyen Geneva,” kata jurucakap Kremlin itu.

Minggu lalu, saluran TV Russia menyiarkan video di media sosial mengenai Drueke dan Huynh.

Bagaimana kedua-dua lelaki itu ditahan dan siapa yang secara khusus menahan mereka tidak begitu jelas, manakala Peskov hanya menyatakan mereka ditahan ‘pihak berkuasa’.

Ditanya sama ada kedua-dua warga AS itu boleh berdepan hukuman mati, Peskov berkata: “Ia bergantung kepada siasatan”.

Jumaat lalu, Presiden AS, Joe Biden, berkata beliau tidak tahu mengenai Drueke dan Huynh, yang dipercayai menyertai warga asing lain secara sukarela bersama tentera Ukraine. AFP

 ?? (Foto REUTERS) ??
(Foto REUTERS)

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia