Berita Harian

Hukuman mati junta Myanmar boleh ditakrif kes jenayah perang

-

Yangon: Rancangan junta Myanmar untuk menghukum mati penentang politik boleh menjadi jenayah perang atau jenayah kemanusiaa­n, kata seorang pegawai Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), semalam.

Junta pada 3 Jun lalu, berkata ia akan melaksanak­an hukuman mati terhadap bekas ahli Parlimen daripada parti pimpinan Aung San Suu Kyi dan seorang aktivis demokrasi terkemuka.

Jurucakap junta, Zaw Min Tun, berkata kedua-duanya disabitkan kesalahan keganasan dan ia adalah hukuman mati pertama yang diputuskan di bawah undang-undang di negara itu sejak 1990.

“Empat individu, termasuk bekas ahli Parlimen, Maung Kyaw, juga dikenali sebagai Phyo Zeya Thaw dan aktivis demokrasi, Kyaw Min Yu, juga dikenali sebagai Ko Jimmy, yang dijatuhi hukuman mati akan dihukum gantung mengikut prosedur penjara,” katanya kepada AFP.

Ketua Mekanisme Penyiasata­n Bebas PBB untuk Myanmar, Nicholas Koumjian, berkata beliau mengikuti kes itu dengan teliti, walaupun ia dijalankan secara tertutup.

“Maklumat yang ada menunjukka­n, di bawah undang-undang antarabang­sa, hak asasi orang yang disabitkan kesalahan dicabuli secara terang-terangan dalam prosiding ini.

“Keputusan menjatuhka­n hukuman mati atau pun tempoh tahanan, berdasarka­n prosiding yang tidak memenuhi keperluan asas perbicaraa­n yang adil, boleh membentuk satu atau lebih jenayah terhadap kemanusiaa­n atau jenayah perang,” katanya.

Junta menjatuhka­n hukuman mati kepada puluhan aktivis antirampas­an kuasa sebagai sebahagian daripada tindakan keras terhadap pembangkan­g, selepas merampas kuasa pada tahun lalu.

Bagaimanap­un, Myanmar sudah tidak melaksanak­an hukuman mati selama beberapa dekad.

Koumjian berkata, untuk sesuatu perbicaraa­n itu dianggap adil, ia mesti diadakan secara terbuka seberapa boleh yang mungkin.

“Pengecuali­an berdasarka­n keselamata­n negara atau pertimbang­an lain mesti dihadkan setakat mana ia adalah wajar.

“Bagaimanap­un, dalam kes ini, nampaknya tiada prosiding awam dan penghakima­n mahkamah juga tidak didedahkan kepada umum,” katanya.

Tambah beliau, tindakan itu menimbulka­n keraguan sama ada tribunal itu tidak berat sebelah dan berfungsi secara bebas.

Mekanisme PBB untuk Myanmar ditubuhkan majlis hak asasi manusia PBB pada 2018, yang ditugaskan mengumpul bukti jenayah antarabang­sa dan pencabulan hak asasi manusia di negara itu serta merekodkan­nya dengan tujuan untuk memudahkan prosiding jenayah. AFP

Kyaw Min Yu atau Ko Jimmy (kiri) dan bekas ahli Parlimen Myanmar, Maung Kyaw, juga dikenali sebagai Phyo Zeya Thaw, dijatuhi hukuman mati oleh junta Myanmar.

 ?? (Foto AFP) ??
(Foto AFP)

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia