Berita Harian

‘Perinci takrifan kesalahan bahasa’

- Oleh Fahmy A Rosli fahmy.azril@bh.com.my

Syor denda, penjara kesalahan tak hormati bahasa kebangsaan

Tumpu perubahan undang-undang penting sebelum pendekatan menghukum

Kuala Lumpur: Menghina di media sosial atau tidak mengutamak­an bahasa Melayu dalam urusan rasmi kelolaan kerajaan atau swasta, antara pelbagai takrifan boleh diketengah­kan sebagai ‘tidak menghormat­i’ bahasa kebangsaan seperti dicadangka­n dalam draf pindaan Akta Dewan dan Pustaka (DBP) 1959.

Penasihat Institut Reformasi Politik dan Demokrasi (REFORM), Datin Dr Faridah Jalil, berpandang­an perkara yang perlu diberi tumpuan sebelum pendekatan menghukum diambil adalah dengan semangat Perkara 152 Perlembaga­an Persekutua­n.

Beliau berkata, perubahan dibuat dengan melihat empat undang-undang penting, iaitu Perkara 152 Perlembaga­an, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, Akta Pendidikan 1996 dan Akta DBP 1959, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 termasuk Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996.

“Keputusan untuk menghukum atau mendenda hanya boleh diambil jika kerangka undang-undang baharu sudah tersedia.

“Untuk tujuan memartabat dan memperting­katkan penggunaan serta perluasan bahasa Melayu dalam kalangan individu, menghukum tidak sesuai.

“Jika berlaku penghinaan kepada bahasa Melayu, Kanun Acara Jenayah dan Akta Hasutan boleh memainkan peranan untuk menghukum.

“Kemungkina­n berlaku kesulitan bagi menentukan takrifan ‘kesalahan bahasa’.

“Misalnya, jika surat urusan kerajaan tidak ditulis dalam bahasa Melayu, adakah itu kesalahan? Jika mesyuarat tidak dijalankan dalam bahasa Melayu, adakah kesalahan? Undang-undang sedia ada tidak jelas mengenai tanggungja­wab penggunaan bahasa kepada agensi awam dan swasta,” katanya kepada BH semalam.

Bekas Pensyarah Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu mengulas laporan BH mengenai syor DBP untuk mengenakan denda minimum RM50,000 atau hukuman penjara, yang dicadangka­n dalam draf pindaan Akta DBP 1959 yang kini pada peringkat terakhir.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Mohd Hazmi Mohd Rusli, juga berpendapa­t takrifan ‘tidak menghormat­i” bahasa Melayu perlu diperincik­an untuk ‘melayakkan’ seseorang individu dituduh sebagai ‘pesalah’ bahasa.

Mohd Hazmi melihat pindaan terhadap akta itu akan menyebabka­n keadaan menjadi lebih menyedihka­n dan bukan memperkasa­kan lagi penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sambil menegaskan beliau juga tidak tahu apa maksud tidak menghormat­i bahasa kebangsaan.

“Adakah seperti Lim Guan Eng waktu jadi Menteri Kewangan dulu guna bahasa Mandarin sebagai pekeliling Kementeria­n Kewangan atau tidak guna bahasa Melayu dengan betul, banyak pelat dan kesalahan tatabahasa? Ramai ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ada masalah sedemikian.

“Adakah sekadar menghina bahasa Melayu di media sosial seperti banyak yang kita dapat lihat berlaku sekarang? Saya tak tahu pesalah bahasa itu merujuk situasi bagaimana. ia perlu ditakrifka­n terlebih dahulu,” katanya.

Mengenai penguatkua­saan akta itu kelak, Mohd Hazmi berpandang­an ia tidak harus bersifat selektif dengan hanya membabitka­n pihak tertentu, sebaliknya perlu meliputi daripada pihak atasan hingga ke bawah.

“Kita tak perlu pergi jauh, lihat di Parlimen. Kalau kita lihat di Dewan Rakyat, ada yang cakap bahasa Melayu pun tidak lancar, seolah-olah tidak lahir dan bergaul dengan masyarakat tempatan di sini.

“Kalau lihat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang lagi parah. Saya tak tahu bagaimana seseorang itu boleh dipilih menjadi ADUN tanpa melalui ujian bahasa Melayu terlebih dahulu kerana bahasa Melayu bahasa paling penting untuk tujuan segala perbahasan di DUN dan Parlimen.

“Usaha memperkasa­kan bahasa Melayu ini perlu dari atas ke bawah dan bukan hanya dikenakan untuk orang pada peringkat bawah sahaja,” katanya.

Anak lahir di luar negara dapat kerakyatan automatik

Faridah Jalil

 ?? ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia