Berita Harian

Syarat Sejarah subjek wajib lulus SPM kekal

-

Putrajaya: Kementeria­n Pendidikan (KPM) tidak bercadang mengkaji keperluan memansuhka­n Sejarah sebagai subjek wajib lulus dalam peperiksaa­n Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) biarpun jumlah calon gagal mata pelajaran itu atau Bahasa Melayu pada SPM 2021 mencecah 12 peratus.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata apa yang penting adalah untuk kementeria­n mengkaji faktor yang menyumbang kepada keputusan sedemikian selain mencari pendekatan intervensi yang bersesuaia­n.

“Ia bagi memastikan anak kita yang lahir daripada sistem pendidikan kita ini dapat menguasai subjek Sejarah supaya pada masa akan datang, jumlah murid gagal dapat dikurangka­n dari semasa ke semasa,” katanya pada sidang media, di sini semalam.

Dalam keputusan SPM 2021 yang diumumkan minggu lalu, seramai 45,514 atau 11.91 peratus calon dilaporkan tidak layak mendapat sijil, sama ada disebabkan tidak lulus mata pelajaran Bahasa Melayu atau Sejarah.

Sementara itu, Radzi berkata, kementeria­nnya sudah diarahkan untuk melihat dakwaan berkenaan silibus Matematik Tahun Satu yang dikatakan dirangka dengan standard aras tinggi sehingga membebanka­n guru dan pelajar.

Beliau berkata, ia bagi melihat sama ada subjek berkenaan rumit atau sesuatu yang boleh menjadi kebiasaan.

“Seperti yang saya sebut sebelum ini, pusingan pertama Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) akan tamat tahun ini, jadi kita akan semak kembali silibus yang ada,” katanya.

Dalam perkembang­an lain, menteri berkenaan menegaskan, KPM tidak pernah mengeluark­an senarai kedudukan sekolah terbaik dalam peperiksaa­n utama sebagai pengukur prestasi antara sekolah, sebaliknya ia inisiatif pihak luar seperti yang berlaku bagi keputusan SPM 2021, baru-baru ini.

“Jika ia dibuat pihak luar, ia di luar bidang kuasa kementeria­n. Boleh disemak tahun-tahun sebelum ini pun, memang tidak ada sebarang ‘ranking’ dikeluarka­n oleh KPM.

“Kami tidak dapat halang pihak lain di luar sana berusaha keras untuk dapatkan maklumat mengumpul ‘ranking’, tetapi bagi pihak KPM, kami tidak pernah keluarkan sebarang ‘ranking’ keputusan SPM,” katanya.

Justeru, Radzi berharap semua pihak menyemak fakta yang ada sebelum membuat sebarang dakwaan atau ulasan berhubung isu berkenaan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia