Berita Harian

Sekolah agama terima pelajar tanpa mengira latar belakang

-

Baling: Biarpun ‘buta’ al-quran dan jauh daripada agama, sebuah sekolah agama di Kupang di sini, tidak akan pernah menolak menerima pelajar sedemikian demi mendidik mereka mengikut syariat.

Pengetua Sekolah Menengah Agama (SMA) Yayasan Al-khairiah, Abdul Rahman Yahya, berkata sekolah itu kini mempunyai seramai 1,700 pelajar tanpa mengira status dan latar belakang keluarga.

“Sesetengah ibu bapa sibuk dengan urusan dunia sehingga tidak sempat mengajar anak mengenai agama, malah ada yang buta al-quran. Namun kami tetap terima mereka dengan rasa tanggungja­wab untuk membentuk akhlak dan mengajar mereka membaca al-quran.

“Alhamdulil­lah ramai ibu bapa gembira selepas anak yang dihantar kini mampu membaca al-quran dan memahami agama. Walaupun kurang cemerlang dalam akademik, paling penting mereka diterapkan elemen rohani dan jasmani bagi memupuk sahsiah peribadi diri,” katanya ketika ditemui.

Terdahulu, Abdul Rahman dipilih sebagai penerima Anugerah Jejak Murabbi Ummah 2022 (Tokoh Murabbi), manakala SMA Yayasan Al-khairiah menerima anugerah sama bagi kategori institusi.

Majlis penyampaia­n anugerah disempurna­kan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman yang kini berusia 76 tahun berkata, beliau bersyukur dipilih menerima anugerah itu selepas 43 tahun mengambil alih pengurusan sekolah itu.

Katanya, SMA Yayasan Al-khairiah sudah berjaya melahirkan puluhan ribu pelajar dari seluruh negara, malah ada antara mereka menjadi profesiona­l dalam bidang masing-masing.

“SMA Yayasan Al-khairiah ini asalnya Pondok Kampung Pisang yang diasaskan arwah bapa, Tuan Guru Haji Yahya Taha yang dahulunya mengajar kitab thurat dan menghafal al-quran.

“Seiring peredaran zaman, saya menaik taraf sekolah ini menjadi sekolah akademik dan juga tahfiz bedaftar di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK),” katanya.

Beliau berkata, pusat pendidikan itu kini berjaya melahirkan ramai hufaz sehingga ada yang berjaya melanjutka­n pelajaran sehingga peringkat ijazah doktor falsafah (PHD) dalam bidang al-quran.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia