Berita Harian

Langkah Johor kaji pinda cuti mingguan dapat reaksi positif

-

Iskandar Puteri: Langkah kerajaan negeri mengkaji meminda cuti mingguan Jumaat dan Sabtu sedia ada kepada Sabtu dan Ahad, mendapat reaksi positif golongan pendidik di negeri ini.

Pengerusi Jawatankua­sa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Johor, Norlizah Noh, berkata majoriti daripada 44,920 guru sekolah rendah dan menengah di negeri ini bersetuju supaya penetapan hari cuti hujung minggu dikaji semula.

“Guru di negeri ini sering membangkit­kan isu ketidakhad­iran pelajar setiap Ahad yang juga hari persekolah­an di negeri ini kerana ada pertindiha­n dengan cuti hujung minggu ibu bapa mereka.

“Isu ketidakhad­iran pelajar yang tinggi pada Ahad berlaku setiap kali cuti hujung minggu yang panjang atau pada permulaan atau pengakhira­n cuti sekolah yang panjang. Ramai pelajar tidak ke sekolah pada Ahad selepas cuti berakhir,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-15, di sini semalam, bagi mengulas perkembang­an susulan pengumuman Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada 14 Jun lalu berhubung kajian semula penetapan cuti hujung minggu di Johor.

Onn Hafiz dilaporkan berkata, kajian itu ekoran terdapat keluhan masyarakat mengenai perbezaan hari cuti sektor swasta dan kerajaan, selain bagi memastikan ibu bapa dan anak dapat berehat pada hari sama.

Pertukaran cuti hujung minggu kepada Jumaat dan Sabtu di negeri ini yang berkuat kuasa 1 Januari 2014 dititahkan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar pada 23 November 2013.

Ia selaras keputusan Johor yang paling awal mengiktira­f Islam sebagai agama rasmi dan dibuat bagi memudahkan lelaki Islam menunaikan solat Jumaat dalam keadaan sempurna serta tidak tergesa-gesa.

Johor sebelum itu juga pernah menjadikan Jumaat dan Sabtu sebagai cuti minggu sebelum 1994, selain negeri seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Norlizah berkata, apa juga keputusan yang bakal diambil berhubung cuti hujung minggu di Johor nanti diharap tidak dikuatkuas­akan serta-merta atau pada tahun ini kerana dibimbangi mengganggu takwim sesi persekolah­an yang siap disusun sehingga Disember nanti.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia