Berita Harian

Wanita hadapi 26 tuduhan tuntutan palsu, terima suapan

-

Johor Bahru: Seorang penyelia asrama sebuah sekolah sukan di Bandar Penawar, Kota Tinggi, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas 26 pertuduhan membuat tuntutan palsu, menerima dan diberikan suapan keseluruha­nnya membabitka­n jumlah lebih RM636,000.

Hazalilah Ahmad, 41, bagaimanap­un mengaku tidak bersalah bagi semua pertuduhan itu selepas ia dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarka­n 22 kertas pertuduhan pertama, ibu kepada empat anak itu didakwa membuat tuntutan palsu iaitu dokumen berkaitan bekalan makanan bermasak Islam ke sekolah sukan itu, yang mana jumlah bekalan yang tidak sepatutnya dituntut adalah sebanyak RM504,752.

Jumlah wang itu diperoleh untuk dirinya dengan cara memalsukan dokumen iaitu Nota Minta, Borang Pesanan Asrama, Invois Syarikat Kontraktor dan Pesanan Sekolah bagi tujuan menipu.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh sepanjang 2016 hingga 2017 dan pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, bagi dua lagi pertuduhan, wanita itu didakwa menerima wang berjumlah RM69,743.04 melalui akaun bank milik suaminya.

Perbuatan yang dilakukan itu berkaitan tugas rasminya sebagai penyelia asrama dengan memperakuk­an kerja dilaksanak­an dengan memuaskan bagi pembekalan makanan bermasak Islam kepada pelajar asrama sekolah itu.

Bagi perbuatan yang dilakukan antara Oktober 2015 hingga Januari 2016, dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi dua pertuduhan terakhir pula, tertuduh didakwa diberikan wang suapan berjumlah RM61,600 melalui akaun bank milik suaminya bagi membantu menguruska­n dokumen tuntutan pembekalan makanan bermasak Islam kepada pelajar asrama itu.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 22 Ogos depan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia