Berita Harian

4 polis direman kes rasuah

-

Melaka: Empat anggota polis direman seminggu bermula semalam, bagi membantu siasatan meminta dan menerima rasuah RM12,000 untuk menyeludup barangan terlarang, termasuk dadah ke lokap tiga tahun lalu.

Majistret Mazana Sinin membenarka­n perintah reman itu selepas dipohon Pegawai Penyiasat Kanan Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Abdullah Fahmy Mohd@saleh bagi melengkapk­an siasatan kes.

Terdahulu, keempat-empat suspek berpangkat Koperal dan Lans Koperal berusia 35 hingga 40 tahun memakai baju lokap SPRM dibawa ke Kompleks Mahkamah Ayer Keroh di sini, kira-kira jam 9.30 pagi.

Difahamkan, semua suspek yang bertugas di sebuah balai polis di Alor Gajah menerima rasuah wang tunai dan pindahan wang atas talian sebagai upah menjadi ‘orang tengah’ untuk membawa masuk barangan seperti rokok, dadah, tembakau dan makanan untuk kegunaan tahanan.

Bayaran itu diterima daripada orang suruhan tahanan antara RM600 hingga RM9,000 melalui kira-kira 20 transaksi dalam tempoh setahun bermula 2019 hingga 2020.

Mereka ditahan di pejabat SPRM Melaka di Alai, petang kelmarin ketika hadir bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Mohd Shahril Che Saad ketika dihubungi mengesahka­n mengenai perkara itu dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(b) Akta SPRM 2009.

 ?? (Foto Meor Riduwan Meor Ahmad/bh) ?? Empat suspek diiringi pegawai SPRM dibawa ke Kompleks Mahkamah Ayer Keroh, semalam.
(Foto Meor Riduwan Meor Ahmad/bh) Empat suspek diiringi pegawai SPRM dibawa ke Kompleks Mahkamah Ayer Keroh, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia