Berita Harian

Kes kucing jangkiti virus kepada manusia dikesan di Thailand

-

Penularan COVID-19

Bangkok: Penularan pertama COVID-19 daripada kucing kepada manusia yang diterbitka­n dalam edisi 6 Jun ‘Jurnal Penyakit Berjangkit’ Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS), menarik perhatian dunia.

Kajian itu terlebih dulu didokumenk­an Universiti Prince of Songkla di Thailand sebelum diterbitka­n jurnal berkenaan dan laporan New York Times empat hari kemudian.

Kajian itu menceritak­an kes bapa dan anak lelakinya yang berada di Bangkok mengalami gejala serta disahkan positif COVID-19 pada 4 Ogos 2021.

Disebabkan kekurangan katil hospital di Bangkok, kedua-dua lelaki itu dibawa ke hospital di Songkhla 8 Ogos berikutnya.

Kedua-duanya membawa kucing peliharaan mereka menaiki ambulans dalam perjalanan yang mengambil masa kira-kira 20 jam untuk tiba ke Songkhla.

Selepas kedua-dua lelaki itu dimasukkan ke hospital, kucing mereka dibawa ke hospital veterinar untuk diambil sampel ujian.

Walaupun kucing itu kelihatan sihat, doktor veterinar berusia 32 tahun yang mengumpul sampel hidung dan rektum, mendapati haiwan itu positif COVID-19.

Semasa doktor berkenaan mengambil calitan hidung kucing itu, haiwan berkenaan bersin.

Walaupun doktor memakai sarung tangan dan pelitup muka ketika pengambila­n sampel, dia tidak memakai pelindung muka untuk melindungi matanya.

Pada 13 Ogos 2021, doktor veterinar itu mula mengalami simptom, termasuk demam serta batuk, dan tidak lama kemudian dia disahkan positif COVID-19.

Penjujukan genomik mendedahka­n pemilik kucing, kucing dan doktor haiwan itu dijangkiti varian Delta COVID-19 yang sama, yang berbeza daripada sampel virus diambil daripada pesakit lain di Songkhla ketika itu.

Ujian Rantaian Reaksi Polimerase (PCR) menunjukka­n kucing itu mempunyai tahap virus yang tinggi pada masa persampela­n dibuat.

Tiada seorang pun daripada kontak rapat doktor itu menghidap COVID-19 pada masa itu.

Penyelidik Thailand mengatakan ia adalah kes pertama mendokumen­kan penularan jangkitan membabitka­n kucing kepada manusia, walaupun ia sangat jarang berlaku kerana kucing mempunyai tempoh penghapusa­n virus yang sangat singkat iaitu sekitar lima hari. AGENSI

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia