Berita Harian

Ahli Parlimen Lubok Antu tak minat sertai PBM

-

Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Lubok Antu, Jugah Muyang menegaskan tidak berminat dengan Parti Bangsa Malaysia (PBM) walaupun turut dipelawa untuk menyertai parti berkenaan.

Ahli Parlimen Bebas itu berkata, pelawaan itu diterima daripada Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin yang juga Presiden Pengganti PBM untuk menyertai parti itu yang kini didakwa mempunyai 190 bahagian di seluruh negara.

Mengulas lanjut, katanya beliau sudah memohon untuk menyertai Parti Rakyat Sarawak (PRS) di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) tiga bulan lalu.

“Dari awal lagi pendirian saya adalah tetap untuk terus menyokong parti tempatan di Sarawak, jadi saya tidak berminat untuk menyertai PBM.

“Saya sudah menyatakan sokongan untuk menyokong parti tempatan iaitu komponen GPS dan serah kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukan­nya,” katanya kepada FMT.

Jugah berkata, beliau memilih PRS kerana Parlimen Lubok Antu adalah kerusi tradisi parti itu dan berharap dapat terus mempertaha­nkannya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pada PRU14, Jugah yang bertanding sebagai calon Bebas memenangi kerusi Lubok Antu dengan kelebihan 1,059 undi.

Beliau menyertai PKR pada Mei 2018 sebelum meninggalk­an parti itu pada Jun 2020 dan menjadi Ahli Parlimen Bebas hingga kini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia