Berita Harian

Pahang beri pelajar SPM dapat semua A insentif RM1,000

- Oleh Asrol Awang

300 terima sumbangan hargai ketekunan, usaha gigih bhnews@bh.com.my

Kuantan: Kerajaan Pahang memberi insentif RM1,000 setiap seorang kepada 300 lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang memperoleh semua A.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata insentif itu diluluskan dalam mesyuarat EXCO semalam, membabitka­n dana RM300,000.

Katanya, sumbangan itu penghargaa­n kerajaan negeri ke atas usaha dan ketekunan pelajar yang terpaksa mengulang kaji dalam suasana penuh cabaran, termasuk mengikuti pengajaran dan pembelajar­an di rumah (PDPR) akibat pandemik COVID-19.

“Seramai 300 daripada 17,008 calon yang mengambil peperiksaa­n SPM 2021 di negeri ini memperoleh keputusan gred A dalam semua mata pelajaran yang diumumkan minggu lalu.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapka­n syabas dan tahniah kepada semua pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang ini,” katanya, semalam.

Wan Rosdy turut berterima kasih juga kepada tenaga pengajar dan ibu bapa yang tidak jemu mencurahka­n ilmu demi kejayaan pelajar ini.

“Selamat maju jaya kepada pelajar cemerlang ini dan semoga berjaya dalam bidang yang diceburi pada masa depan,” katanya.

Sementara itu, berdasarka­n pencapaian keseluruha­n prestasi Gred Purata Negeri (GPN) Pahang ialah 4.74 dengan 10 sekolah tersenarai sebagai sekolah terbaik, termasuk tiga sekolah harian.

Sekolah berkenaan ialah Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Kuantan, Kuantan; Sekolah Menengah (SM) Sains Tengku Abdullah, Raub; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib, Kuantan dan SBPI Temerloh, Temerloh. Selain SMK Jengka Pusat di Maran, SMA Persekutua­n Bentong, SMK Seri Bera serta SBPI Tun Abdul Razak dan Sekolah Sultan Haji Ahmad Shah di Pekan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia