Berita Harian

Kes kembali melonjak di Singapura

-

Penularan Covid-19

Subvarian baharu Omicron lebih mudah berjangkit, pakar gesa ambil dos penggalak

Singapura: Lonjakan terbaru kes COVID-19 dikesan di republik ini didorong subvarian baharu BA.4 dan BA.5 Omicron, yang lebih mudah berjangkit, kata pakar.

Kes baharu juga tidak terdiri daripada mereka yang dijangkiti buat kali pertama sahaja, sebaliknya jangkitan kali kedua juga berlaku akibat perlindung­an vaksin semakin merosot.

Oleh itu, doktor dan pakar terus menggesa orang ramai mendapatka­n suntikan penggalak, termasuk dos penggalak kedua, lebih-lebih lagi menjelang sambutan Aidiladha tidak lama lagi.

Sebanyak 7,109 kes COVID-19 baharu direkod di Singapura Selasa lalu, lebih dua kali ganda jumlah kes pada Isnin, iaitu 3,220 kes selain lebih tinggi berbanding 5,130 kes pada Selasa minggu lalu.

Bilangan kes pada Selasa biasanya lebih tinggi berbanding hari lain kerana ia mencermink­an peningkata­n dalam jangkitan selepas hujung minggu apabila lebih orang berada di pelbagai tempat bersosial.

Kementeria­n Kesihatan (MOH) melaporkan dalam pengemaski­nian di laman sesawangny­a bahawa nisbah jangkitan dari minggu ke minggu meningkat ke 1.23 kelmarin, daripada 1.17 pada Isnin, manakala Selasa minggu lalu, nisbahnya ialah 1.01.

Kadar itu merujuk kepada nisbah kes dalam masyarakat sepanjang minggu lalu berbanding minggu sebelumnya, yang mana kadar melebihi 1 menunjuk jumlah kes coronaviru­s baharu mingguan sedang meningkat.

MOH berkata 326 pesakit sedang dirawat di hospital, dengan sembilan menerima penjagaan intensif dan 27 memerlukan sokongan oksigen tetapi tidak ada kematian baharu dilaporkan.

Setakat semalam, Singapura mencatat 1,378,090 kes COVID-19 dengan 1,405 kematian.

Selasa lalu, MOH juga berkata negara ini menyaksika­n peningkata­n 23 peratus dalam kes jangkitan dalam masyarakat dari minggu ke minggu dan sebahagian besar peningkata­n itu disebabkan penyebaran subvarian Omicron BA.4 dan BA.5.

Sekitar 30 peratus kes COVID-19 dalam masyarakat minggu lalu adalah kes subvarian BA.4 dan BA.5, berbanding masing-masing 17 peratus dan 3 peratus pada dua minggu sebelumnya.

Subvarian BA.5 saja dianggarka­n menyumbang 25 peratus daripada semua kes sejauh ini dalam minggu ini, kata MOH.

Lonjakan dalam kes BA.4 dan BA.5 berkemungk­inan berterusan, didorong sifatnya yang lebih mudah disebarkan berbanding BA.2.

Buat masa ini, bukti antarabang­sa dan tempatan menunjukka­n keterukan jangkitan BA.4 dan BA.5 adalah sama dengan jenis jangkitan Omicron terdahulu.

Pada awal bulan ini, Menteri Kesihatan, Ong Ye Kung, memberi amaran bahawa gelombang COVID-19 seterusnya mungkin melanda ke Singapura pada Julai atau Ogos, disebabkan oleh subvarian BA.4 dan BA.5 virus Omicron.

Ini berdasarka­n apa yang berlaku di bahagian lain dunia, seperti di Amerika Syarikat atau Afrika Selatan. AGENSI

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia