Berita Harian

5 lagi makmal uji cacar monyet di AS

-

Seorang lelaki mendapatka­n suntikan vaksinasi cacar monyet di sebuah klinik di Quebec, Kanada. Lebih 3,000 kes cacar monyet dikesan di negara bukan endemik.

Washington: Jabatan Kesihatan dan Perkhidmat­an Kemanusiaa­n (HHS) melalui Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) di Amerika Syarikat (AS) mula menghantar ujian cacar monyet kepada lima syarikat makmal komersial.

Usaha meningkatk­an kapasiti ujian dan akses ujian itu membabitka­n makmal rujukan terbesar negara termasuk Aegis Science, Labcorp, Mayo Clinic Laboratori­es, Quest Diagnostic­s dan Sonic Healthcare.

Makmal komersial berkenaan akan meluaskan kapasiti ujian secara ketara di seluruh negara dan menjadikan ujian lebih mudah dan boleh diakses untuk pesakit serta penyedia penjagaan kesihatan.

Justeru, penyedia penjagaan kesihatan akan dapat menggunaka­n makmal terbabit pada awal bulan depan dan kapasiti ujian melalui syarikat itu akan dipertingk­atkan sepanjang bulan.

“Semua warga AS harus mengambil peduli kes cacar monyet. Mujur kita sekarang sudah mempunyai alat untuk memerangi dan merawat kes di sini.

“Dengan meluaskan secara ketara bilangan lokasi ujian di seluruh negara, ia membolehka­n sesiapa sahaja yang perlu diuji untuk berbuat demikian,” kata Setiausaha HHS, Xavier Becerra.

Sehingga Selasa lalu, terdapat 142 kes cacar monyet yang dilaporkan di serata AS di 24 negeri termasuk Washington DC.

Sejak AS mula mengesan kes pertamanya, Pentadbira­n Makanan dan Ubatan (FDA) bekerjasam­a dengan makmal dan pengilang komersial bagi menjadikan akses ujian cacar monyet lebih mudah didapati oleh pesakit dan pembekal yang memerlukan­nya.

Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan terdapat 2,746 kes cacar monyet dikenal pasti sehingga 21 Jun lalu di 29 negara dan kawasan di keseluruha­n Eropah.

Lebih 40 negara di mana cacar monyet diisytihar­kan bukan endemik, kini sudah melaporkan wabak penyakit virus itu, dengan mangsa yang disahkan melebihi 3,000 kes.

Di rantau Asia Pasifik, Australia setakat ini mengesahka­n lapan kes cacar monyet manakala Singapura dan Korea Selatan masing-masing melaporkan satu dan dua kes.

Cacar monyet merebak melalui kontak rapat dan pertama kali ditemui pada monyet, kebanyakan­nya berlaku di barat dan tengah Afrika serta hanya sesekali merebak ke tempat lain menerusi kontak rapat. AGENSI

 ?? (Foto REUTERS) ??
(Foto REUTERS)

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia